PELAKON dan pengarah, Farid Kamil mendedahkan belum berkesempatan beraya dengan dua anaknya sepanjang Syawal ini.
Menurut Farid atau nama lengkapnya Farid Kamil Zahari, 44, dia tidak dapat mengambil buah hatinya iaitu Muhammad, 12, dan Nur Aurora, 10, kerana berada di Kedah.
“Saya tak berkesempatan untuk beraya bersama anak-anak saya pada Aidilfitri lalu. Saya hanya sempat membuat panggilan video sahaja.
Sepatutnya saya nak bawa mereka ke majlis tayangan perdana Telaga Suriram tetapi kanak-kanak tak dibenarkan menonton filem ini.
“Insya-Allah raya seterusnya saya akan beraya bersama anak-anak. Mungkin raya haji. Tetapi bulan hadapan keluarga saya ada majlis perjumpaan keluarga. Jadi mungkin saya akan membawa anak-anak di majlis itu nanti,” katanya kepada HibGlam
Sebelum ini bekas isteri Farid iaitu Diana Danielle pernah berkongsi dia memberi kebenaran Muhmmad dan Nur Aurora beraya dengan Farid terlebih dahulu kerana mahu mereka merasai kemeriahan beraya di kampung.
Ditanya bagaimana kehidupannya selepas sah bercerai dengan Diana pada 24 Mac lalu, kata hero filem Legenda Budak Setan itu dia bersyukur dengan hari-hari dilaluinya.
Tak dapat dinafikan raya tahun ini buat pertama kali saya terasa asing tanpa keluarga di sisi. Tetapi inilah namanya pengalaman baharu. Hidup mesti diteruskan,” ujarnya.
Farid bakal muncul dengan filem baharu, Telaga Suriram arahan Osman Ali yang menjalani penggambaran empat tahun lalu dan bakal menggegarkan pawagam bermula 1 Mei ini. – HIBGLAM