‘Kena jangkitan, nanah memancut’ – Anju menyesal buat hidung

SALAH percaturan, pelakon sensasi Zarina Anjouline terpaksa membuang implan hidung kerana mengalami jangkitan teruk sehingga bernanah.

Zarina atau mesra disapa Anju, 38, berkata, hidungnya mengalami jangkitan gara-gara prosedur pembedahan plastik yang dilakukan di Vietnam tidak bersih selain menggunakan implan atau silikon terpakai.

“Menyesal saya buat hidung, terkena jangkitan sampai demam dan sakit badan. Sudah beberapa hari hidung saya merah kerana jangkitan.

Sebenarnya jangkitan ini telah ada sejak dari Vietnam lagi. Perkara ini dipanggil jangkitan secara senyap, luaran nampak okey, tetapi bahagian dalam telah ‘makan’ hidung saya,” ujar Anju menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagramnya sebentar tadi.

Disebabkan tidak mampu menanggung lagi kesakitan, Anju tidak ke hospital sebaliknya bergegas ke sebuah klinik milik sahabatnya.

Sangat teruk, apabila saya buka rupanya silikon itu sudah digunakan oleh orang lain sebelum dicuci dan dipakaikan kepada saya.

“Hendak tunggu buat di hospital lambat, jadi saya pilih buat di klinik kecantikan sahaja. Klinik ini tidak buat pembedahan hidung tetapi saya minta tolong untuk keluarkan silikon itu secepat mungkin.

Sebab badan saya sudah mula demam, batuk, berkahak dan sinus teruk bermakna bakteria telah merebak. Saya tidak cadang anda pergi ke klinik di Vietnam, tadi semasa buang silikon nanah memancut keluar,” katanya.

Sebaik membuang silikon, segala simptom jangkitan hilang bahkan hidungnya kembali ke bentuk asal.

Nampak jahitannya (klinik di Malaysia) kemas berbanding jahitan di Vietnam dahulu seperti jahit tali rafia di guni.

“Saya tidak tahu bagaimana orang boleh buat pembedahan hidung kerana cukup menyusahkan, menyeksakan dan merimaskan. Saya gembira dapat kembali hidung lama,” ujar Anju.

Terdahulu, Anju secara terbuka berkongsi tentang pembedahan hidung yang dilakukan di sebuah klinik kecantikan di Vietnam sekitar enam bulan lalu.

Kata Anju pembedahan hidung tersebut terpaksa dilakukan bagi membuang benjolan pada bahagian hidungnya, bahkan prosedur tersebut turut mendapat tajaan klinik estetik tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok