‘Untungnya Yassin dapat berpuasa di sana, itu satu rahmat’

KITA akan dapat bersama dengannya tidak lama lagi”.

Demikian kata Azlee Jaafar apabila disoal tentang perkembangan terbaharu anggota Senario, Yassin Yahya yang hilang daripada radar dunia hiburan sejak beberapa bulan lalu.

Azlee, 57, yang menerima perkhabaran Yassin daripada pasangan pelawak berkenaan memberitahu rakan seperjuangannya itu berada dalam keadaan baik.

“Kita akan dapat berita gembira dalam tempoh beberapa minggu sahaja lagi dan kita akan dapat bersama dengannya.

Netizen dan pihak media memang ramai bertanya selama ini, tetapi kalau boleh kami mahu menjaga aib kawan.

“Saya rasa semua sudah tahu dia ada di mana. Di mana pun dia berada, kita doakan yang baik-baik untuk dia,” katanya.

Azlee ditemui pada sidang media Bazaar Raya Shah Alam X Azlee Senario di Kelab Shah Alam sebentar tadi.

Menganggap apa yang berlaku sebgai ujian daripada Allah buat Yassin, Azlee meluahkan rasa cemburu kerana sahabatnya itu berpeluang menjalani ibadah puasa di tempat yang baik.

Sebenarnya saya pun sedih sebab kita puasa di sini tetapi dia dapat buka puasa ‘di sana’, betapa untungnya. Itu adalah satu rahmat Allah untuknya. Kita puasa di sini,

“Yassin sebenarnya mahu menambah ilmu. Disana dia menambah ilmu, mungkin selepas ini dia pula yang akan mengajar kita,” katanya yang masih mengunci mulut soal keberadaan Yassin ketika ini.

Meskipun terpaksa berpisah buat sementara waktu, Azlee memberi gambaran bahawa kesemua anggota Senario bakal bersatu dalam sebuah konsert berskala besar di Stadium Merdeka yang dijadual berlangsung pada Oktober tahun ini.

Kita bakal mengadakan konsert besar Senario pada bulan Oktober ini di Stadium Merdeka dengan sasaran 40,000 penonton.

“Sudah tiba giliran Senario pula untuk masuk ke sana, jadi kami memang mengharapkan semua anggota akan ada pada konsert itu nanti termasuk Yassin,” katanya.

Terdahulu, ketiadaan Yassin dalam banyak acara melibatkan kumpulan Senario telah menimbulkan pelbagai spekulasi.

Antaranya, namanya dikaitkan dengan berita mengenai penahanan seorang pelawak di Jeddah, Arab Saudi atas kesalahan memiliki bahan terlarang sejak Oktober tahun lalu.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelawak ditahan di Jeddah selepas disyaki memiliki dadah jenis ganja.

Pelawak itu dilapor sedang menjalani hukuman penjara selama enam bulan di negara itu.

Hukuman berkenaan dijatuhkan ketika perbicaraannya, November tahun lalu dan berkemungkinan akan dibebaskan lebih awal daripada tempoh ditetapkan sekiranya berkelakuan baik – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok