PELAKON sensasi, Fatiya Latiff tidak kisah perubahan wajahnya menjadi bualan ramai terutamanya dalam media sosial.
Fathia atau nama sebenarnya, Nur Fathia Abdul Latiff, 38, berkata, penambahan usia menjadi faktor utama perubahan wajahnya.
Itu pendapat masing-masing, bagi saya sama sahaja (wajah). Mungkin faktor umur menyebabkan wajah saya berubah.
“Saya tidak marah pun orang yang bercakap tentang wajah saya sebab itu pendapat masing-masing. Saya terima sahaja,” ujar Fatiya.
Meskipun begitu, lumrah menjadi anak seni Fatiya mengakui melakukan rawatan wajah untuk mengekalkan kecantikan.
Saya ada ‘eye bags’ dan ada buat rawatan untuk hilangkannya, selain itu saya ada buat rawatan licinkan kulit. Rawatan yang ekstrem saya tidak buat,” ujar Fatiya.
Tambah bintang drama Ariana Rose itu lagi, dia jarang memuat naik ‘posting’ dan membaca komen dalam media sosial demi menjaga kesihatan mentalnya.
“Saya hanya memuat naik posting berkenaan kerja sahaja, selain daripada itu saya jarang guna media sosial. Ini adalah cara saya menjaga mental,” tutur Fatiya yang ditemui pada majlis sidang media drama Bidaah sebentar tadi.
Selain Fatiya, drama Bidaah yang mengisahkan tentang ajaran sesat turut dibintangi Faizal Hussein, Riena Diana, Fattah Amin, Vanida Imran, Fazlina Ahmad Daud, Hasnul Rahmat dan Malia Baby.
Drama 15 episod itu akan ditayangkan di laman penstriman popular, Viu bermula 6 Mac ini. – HIBGLAM