SELEPAS empat dekad bergelar pelakon, Demi Moore membuktikan bakat dan kerja kerasnya diperakui apabila meraih anugerah pertama di Golden Globes bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik – Filem Komedi atau Muzikal, pagi ini.
Moore atau Demi Gene Moore, 62, tidak menyangka mampu menundukkan pesaingnya, Amy Adams, Cynthia Erivo, Karla Sofia Gascon, Zendaya dan Mikey Madison menerusi filem The Substance.
Bintang terkenal Amerika itu turut membuktikan kemampuannya sebagai pelakon selepas pernah diherdik seorang penerbit di awal penglibatan dalam industri seni.
“Saya tak menyangka dan masih terkejut. Sudah 45 tahun saya jadi pelakon tetapi ini kali pertama saya menang.
“Dengan rendah hati saya sangat teruja. 30 tahun lalu ada seorang penerbit cakap saya cuma aktres bertih jagung.
“Ketika itu, saya fikir tak patut digelar begitu. Saya boleh buat filem berjaya dan meraih banyak wang tetapi saya tak diiktiraf,” katanya semasa menerima trofi di Hotel The Beverly Hilton, Los Angeles.
The Substance mengisahkan Elisabeth Sparkle (Moore) yang terkenal dengan pertunjukan aerobik menghadapi titik hitam dalam hidup apabila dipecat pada hari lahirnya yang ke-50.
Ketika dalam kesusahan, ada makmal menawarkannya bahan yang menjanjikan boleh mengubah dirinya menjadi versi yang lebih baik.
Sebelum ini Moore pernah tercalon untuk anugerah Golden Globe 1991 menerusi filem Ghost dan If The Walls Could Talk pada edisi 1997. – HIBGLAM