Tak lokek, bintang Korea pemilik yayasan amal

Dalam industri hiburan Korea Selatan, selain kesibukan jadual seni, ramai selebriti turut melibatkan diri dalam aktiviti amal. 

Ada antara mereka yang menubuhkan yayasan bagi membantu golongan memerlukan dan menyumbang kembali kepada masyarakat.

Dedikasi ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan mereka terhadap isu sosial, malah memperlihatkan komitmen luar biasa dalam melaksanakan tanggungjawab sosial. 

Beberapa selebriti menggunakan kekayaan dan pengaruh mereka untuk menubuhkan yayasan dengan pelbagai fokus seperti pendidikan, kesihatan dan bantuan bencana. 

Keikhlasan mereka menyokong komuniti menjadikan mereka contoh teladan dalam dunia hiburan.

Kimchi Panas minggu ini menampilkan empat selebriti Korea yang aktif menguruskan yayasan amal dan memberi inspirasi kepada peminat di seluruh dunia.

  • Lee Min-ho 

Siapa sahaja tidak mengenal aktor Lee Min-ho yang bukan sekadar pelakon berbakat, malah turut dipuji dek usaha amalnya melalui yayasan The Promiz. 

Ditubuhkan pada tahun 2014, yayasan itu memfokuskan isu-isu penting seperti bekalan air bersih, penjagaan kesihatan, dan bantuan bencana.

Min-ho kerap menggunakan pengaruhnya untuk mengumpul dana melalui penjualan produk khas dan kempen digital sehingga berjaya menarik perhatian global, menjadikan The Promiz salah satu yayasan amal paling aktif di Korea.

Antara projek penting termasuk menyediakan sumber air bersih di kawasan kurang membangun dan yayasan itu juga terlibat dalam kempen menjaga haiwan terancam.

Melalui The Promiz, pelakon berusia 37 tahun itu membuktikan bahawa keprihatinan terhadap masyarakat dapat digabungkan dengan pengaruh dalam dunia seni sekali gus memberikan inspirasi kepada peminat.

  • IU

Penyanyi dan pelakon IU terkenal dengan sifat dermawan yang sering dirahsiakan daripada pengetahuan umum. 

Dia kerap menyumbang melalui yayasan amal tanpa nama, membantu kanak-kanak kurang bernasib baik serta keluarga berpendapatan rendah.

Idola berusia 31 tahun itu memulakan inisiatif tersebut selepas meraih kejayaan besar dalam karier seni sekali gus mendermakan sejumlah besar wang untuk pembinaan sekolah dan menyediakan biasiswa bagi pelajar kurang mampu.

Yayasan itu juga membantu individu tua yang tinggal bersendirian dengan menyediakan keperluan asas. 

  • BTS

BTS bukan sahaja popular di seluruh dunia menerusi deretan lagu hits, tetapi turut dikenali melalui kempen Love Myself

Projek itu dimulakan bersama UNICEF bagi menangani isu keganasan terhadap kanak-kanak dan remaja di seluruh dunia.

Melalui kempen tersebut, kumpulan tujuh anggota itu mengumpulkan dana hasil daripada penjualan album, barangan khas, dan sumbangan terus daripada ahli kumpulan.

Yayasan itu juga menggalakkan peminat untuk menyebarkan mesej kasih sayang terhadap diri sendiri dan sesama manusia.

Kerjasama dengan UNICEF memberikan impak besar dalam meningkatkan kesedaran mengenai isu keganasan serta memperluas pengaruh BTS sebagai duta global.

Kejayaan Love Myself membuktikan bagaimana muzik boleh menjadi alat untuk menyatukan masyarakat seluruh dunia. 

  • Kim Soo-hyun

Tidak terkecuali pelakon Kim Soo-hyun yang menubuhkan Real Foundation selepas kejayaan besar dalam dunia lakonan. 

Yayasan itu memfokuskan bantuan kepada golongan kurang upaya serta menyediakan rawatan perubatan kepada mereka yang memerlukan.

Real Foundation aktif dalam menyediakan peralatan khas untuk pesakit dengan kecacatan fizikal selain menjalankan program pendidikan bertujuan meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak kurang upaya.

Tindakan pelakon drama Queen of Tears itu menghadiri acara anjuran yayasan tersebut secara senyap tanpa liputan media menambah rasa hormat peminat terhadap keperibadiannya yang rendah hati.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok