SEDEKAD membina nama di arena seni suara, graf pencapaian penyanyi Syamel sudah berada pada tahap cemerlang. Dia bukan sahaja dikenali menerusi vokal hebat dan deretan lagu ‘berhantu’, imejnya juga menjadi perhatian.
Pernah bertubuh gempal ketika awal kemunculan dalam Akademi Fantasia musim ke-12 pada 2015, perubahan fizikal pemilik nama sebenar Syameel Aqmal Mohd. Fodzly itu hakikatnya menuntut usaha dan kegigihan tinggi.
Kata segelintir pihak, kongsinya kata-kata ejekan yang mengkritik bentuk badannya dianggap senjata keramat mengubah diri menjadi seperti sekarang.
Daripada berat mencecah 100 kilogram (kg), Syamel kini mampu mendapatkan bentuk fizikal lelaki stailo sekali gus boleh menggayakan sut seperti diidamkan dahulu.
Tinggal lagi, manusia tidak pernah puas melihat kegembiraan orang lain. Sudah bertubuh ideal, ada pula ‘suara-suara’ sumbang mempersoalkan perubahan positif itu dengan menyangka dirinya kurang sihat selain mendesak mahu Syamel yang dahulu.
“Saya tidak pasti kenapa tetapi saya tak kisah pun ada orang minta Syamel yang dahulu sebab itu pun Syamel juga. Cuma masih segar dalam ingatan Syamel yang dahulu kerap dicemuh.
“Kau kuruslah, kau hitam, tapi saya okey. Saya ambil semua itu sebagai cabaran. Tak mengapa, bila kurus saya pun nak pakai sut, nak nampak sharp. Saya penyanyi, kena penampilan elok. Jadi, saya pun jaga makan, pergi jumpa pakar kulit.
“Dari 2015 saya buat perlahan-lahan untuk ke arah ini. Bukanlah sekarang saya elok terletak, cuma ada perubahan positif. Saya juga makin sedar, gembirakan diri sendiri, tiada apa di dunia yang boleh meruntuhkan minda dan semangat kita,” katanya kepada Pose.
Bersukan
Kongsi penyanyi dan komposer berusia 31 tahun itu, sejak dahulu dia gemar bersukan, terutama bermain bola sepak biarpun ketika agak berisi.
Akui Syamel juga, hampir setiap hari dia turun ke padang atau kadangkala masuk gimnasium melakukan kardio.
Masalah utama Syamel, dia gemar menikmati hidangan membuatkan berat badannya tidak menentu biarpun rajin bersenam.
Situasi sebegitu berjaya dikawal secara konsisten selepas berkahwin.
Suami kepada penyanyi Ernie Zakri itu mendedahkan isterinya kini ‘gila’ bersenam bagi mendapatkan stamina selain menjaga badan selepas melahirkan permata hati mereka, Nur Khawla Soleha yang kini berusia lebih dua tahun.
“Wanita ini berjiwa sensitif, selepas melahirkan tentu sahaja berlaku perubahan emosi dan bentuk badan. Sebagai suami saya perlu jaga perasaan isteri selain tunjukkan contoh.
“Saya semakin berdisiplin ambil pemakanan sihat serta mula berjoging atau ke gim dan semua rutin ini kami lakukan bersama-sama.
“Saya patut berterima kasih kepada Ernie. Disebabkannya saya semakin titikberatkan pola penjagaan badan dan kesihatan,” ujarnya tersenyum.
Anuar Zain mentor
Merendah diri apabila dikatakan antara selebriti lelaki yang mampu menjadi inspirasi gaya, anak jati Kuala Lumpur itu mendedahkan, ada ‘berguru’ dengan penghibur dihormati, Anuar Zain.
“Penyanyi yang tidak lokek ilmu adalah Anuar Zain, daripada beliau saya banyak belajar bukan sahaja ilmu nyanyian atau persembahan, malah tatacara menggayakan sut lengkap.
“Kalau dulu saya main sarung asal nampak okey, tetapi sekarang sudah ada banyak ilmu,” ulasnya.
Perbualan dengan selebriti yang tertib berbicara itu turut menjurus mengenai perancangan sempena 10 tahun menjelang 2025.
Pernah sepentas dengan Ernie dalam Konsert Aku Cinta dua tahun lalu, Syamel akui setiap penyanyi pasti ternanti-nantikan konsert solo, namun secara peribadi dia enggan terkejar-kejar.
“Alhamdulillah karier nyanyian saya sudah hampir sedekad. Terima kasih kepada mereka yang mendengar lagu, penyokong, keluarga dan insan sekeliling.
Konsert
“Semua penyanyi impikan konsert, cuma buat masa ini saya sedang dalam pembikinan album yang memerlukan fokus sepenuhnya.
“Kebanyakan lagu dimuatkan adalah ciptaan sendiri dan jika tiada aral buah tangan tersebut dapat dilancarkan tahun depan.
“Saya percaya, jika rezeki sudah tertulis selain usaha serta sokongan pelbagai pihak, konsert solo dapat direalisasikan apabila tiba masa tepat.
“Ketika itu saya sudah ada katalog lagu yang panjang,” tambahnya bersemangat.
Saat percakapan terarah terhadap karier, penerimaan selepas buah tangan nukilannya, Belakang Tabir tidak lolos dalam senarai 10 calon ke Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) terungkit dalam percakapan, Syamel menahan nafas.
Tenang berdepan lagi pertanyaan tipikal, Syamel sekadar tersenyum seraya berlapang dada dengan keputusan juri profesional.
Dia bahkan bersyukur isterinya, Ernie mampu mara mempertaruhkan lagu Aura di pentas tersebut tahun depan.
“Sedih tak mara ke AJL tetapi perasaan itu sehari sahaja. Saya pun sudah reda.
“Saya fikir belum ada rezeki walaupun harapan tinggi. Memang ketika itu jadi persoalan apa kriteria sebenar untuk ke AJL.
“Apa pun saya lebih bersemangat untuk hasilkan banyak lagi karya berkualiti. Ada rezeki lain menanti dan saya gembira apabila lagu isteri saya berjaya lolos ke pentas akhir nanti,” luahnya menutup perbualan.