Mohon maaf, Vivy Yusof, suami letak jawatan dalam FashionValet

USAHAWAN fesyen, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Anuar mengumumkan bakal melepaskan jawatan dalam FashionValet Sdn. Bhd. susulan kerugian yang dilaporkan ditanggung Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB).

Vivy berkata, mereka memohon maaf kepada Khazanah dan PNB berikutan kontroversi yang mengaitkan kedua-dua pihak terbabit, sekali gus mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan pelaburan dilakukan.

“Khazanah dan PNB sentiasa bertindak profesional demi kepentingan organisasi. kami harap kekecewaan ini tidak menjadi penghalang buat mereka untuk terus menyokong usahawan tempatan yang lain.

“Rasanya sudah tiba masa untuk kami melangkah keluar daripada perniagaan dan melepaskan jawatan.

“Kami tidak mahu isu-isu seterusnya menjejaskan syarikat memandangkan ia sedang berada dalam fasa pemulihan,” katanya menerusi kenyataan bersama dalam Instagram, hari ini.
Vivy turut menjelaskan, sebagai individu yang bertanggungjawab menguruskan syarikat, beliau mengakui kecewa dan kesal dengan diri sendiri sebaik berita kerugian tersebut heboh di media sosial.
Menurut Vivy dan Fadzarudin, kegagalan FashionValet adalah disebabkan perkembangan yang terlalu agresif dan tidak dirancang dengan baik.

“Antaranya adalah melabur teknologi sendiri, kembangkan pasukan terlalu cepat selain menambah terlalu banyak cawangan.

“Tindakan tersebut telah menyebabkan bisnes terjejas dengan teruk apabila pandemik (Covid-19) melanda dunia.

“Walaupun kami cuba mengurangkan kos menjimatkan wang tunai, (termasuk menutup platform e-dagang kami), keadaan tetap menjadi lebih teruk,” ujar kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan (MoF) menerusi jawapan bertulis bertarikh 28 Oktober yang disiar di laman sesawang Parlimen pada Selasa lalu memaklumkan, Khazanah dan PNB hanya menerima RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam FashionValet.

Kementerian itu menjelaskan, penjualan tersebut merupakan langkah keluar yang Khazanah dan PNB daripada FashionValet kepada pelabur strategik berikutan kedua-dua pihak terbabit melabur sebanyak RM47 juta (Khazanah: RM27 juta, PNB: RM20 juta) untuk pegangan minoriti masing-masing dalam syarikat berkenaan pada 2018. – HIBGLAM

 

 

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok