‘Saya berlakon bukan untuk dapat validasi mana-mana pihak’

“SAYA tak minta atau tidak mengharapkan semua suka lakonan saya.”

Demikian reaksi pelakon Zahirah MacWilson apabila lakonannya sebagai Dahlia dalam drama Good Boys To To Heaven dikritik segelintir pihak.

Zahirah atau Nur Zahirah MacWilson Zainol MacWilson, 31, menegaskan dia sudah berusaha memberi lakonan terbaik untuk naskhah popular tersebut.

“Saya berada di sini kerana kepercayaan pengarah dan penerbit serta cuba memberikan hasil yang terbaik.

“Namun, saya bukan nak mendapatkan validasi daripada mana-mana pihak.

Selagi ada yang rasa sesuatu atau terkesan dengan lakonan saya, bermaksud tugas saya sudah selesai. Jika mereka tidak suka, itu hak dan pendapat peribadi,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan drama Good Boys Go To Heaven, baru-baru ini.

Dalam pada itu, dia sedar namanya menjadi sebutan selain turut menerima komen yang mempertikaikan caranya memegang watak Dahlia termasuk momen meratapi kehilangan anaknya, Ahyan yang dibunuh.

Zahirah bagaimanapun memberitahu semua yang dilakukan adalah mengikut kehendak pengarah iaitu Ariff Zulkarnain.

“Pengarah memang ada pesan supaya jangan terlalu banyak menangis kerana dia mahu watak Dahlia diragui dan kelihatan seperti suspek.

Tapi saya juga mahu tunjukkan kesedihan yang dilalui dalam pelbagai cara. Tidak semestinya perlu menangis atau meratap jika rasa sedih, kerana ada yang tidak mampu mengalirkan air mata pun ketika sedang berduka.

“Untuk Dahlia, terlalu banyak benda berlaku sehingga dia tiada masa nak duduk dan meratapi kematian anaknya. Sebenarnya orang paling diam itu yang sedang bergelut dengan diri sendiri, ” katanya.

Terdahulu, lakonan Zahirah dalam GBGTH menerima pelbagai reaksi termasuk kecaman kerana didakwa tidak bersesuaian dengan latar dan tema cerita.

Bagaimanapun, Zahirah membalas komen berkenaan dan meminta individu tersebut ‘menutup mata seketika’ (mengabaikan) setiap kali dia muncul di skrin.

Drama GBGTH mengisahkan tentang penyiasatan  membongkar pembunuhan tragis Ahyan yang baru berusia lapan tahun di Kuala Makar.

Sejak ditayangkan pada Mei lalu, naskhah tersebut menjadi fenomena sehingga ramai yang membuat teori dan menjadi ‘detektif’ bagi mencari bukti dan pembunuh sebenar Ahyan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok