Usah dilayan, sudah-sudahlah isu Tareq

NAMA jurulatih kecergasan, Tareq Fit menjadi sebutan selepas dilihat sering membuat teguran terbuka di laman sosial termasuk terhadap selebriti dengan menyentuh soal pekerjaan mahupun kehidupan peribadi.

Antara nama disebut ialah usahawan selebriti, Khairul Aming apabila dia meninggalkan komen pada hantaran pemilik Rembayung itu yang berkongsi gambar rakan-rakan didakwa lelaki lembut menikmati hidangan di restorannya.

Salah seorang daripada mereka, Ojen Aiwah juga pengusaha manisan memberikan reaksi mempertahankan tiada salahnya andai seseorang lelaki dilahirkan dengan sifat lembut.

Selepas itu, konten dibicarakan pelakon Kamal Adli juga tidak terlepas menjadi sasaran Tareq apabila mendakwa duda terhangat itu mencari rezeki menerusi cara tidak halal kerana berlakon bersama wanita yang tidak menjaga aurat.

“Kubur lain-lain,” itu jawapan ringkas Kamal yang turut disokong ramai peminatnya.

Perkara itu tidak habis begitu sahaja apabila Kamal menyelar tindakan lelaki itu yang mendakwa kononnya golongan artis cuba meraih ‘engagement’ atau perhatian dengan menggunakan namanya.

Ketika netizen turut memperkatakan motif sebenar Tareq ‘memetik’ nama artis dalam podcast atau akaun media sosialnya, tercetus pula pertelagahan baharu iaitu membabitkan penyampai radio Era, Azad Jasmin.

Namun kali ini kem yang sebelum itu mengutuk tindakannya mula berpaling berikutan Azad menggunakan ibu lelaki terbabit sebagai bahan serangan balas dengan melabel wanita berkenaan sebagai pelayan pusat hiburan atau GRO.

Isu tercetus selepas Tareq menasihatkan Azad agar menjaga aurat orang rumahnya selain mengingatkan mengenai dunia hiburan yang boleh merosakkan akhlak.

“Ini ke akhlak seorang artis yang kalian sokong? Kurang ajar betul. Aku tegur fasal jangan tayang aurat orang rumah, jangan goyang-goyang. Kau sudah tua dan jangan rosakkan akhlak ummah.

“Tiba-tiba libatkan emak aku dengan benda yang tidak elok langsung. Percaya bila aku cakap tentang geng-geng hiburan haram ini, mengejek pasal kubur, astaghfirullah,” katanya dalam platform Threads.

Kecaman netizen

Antara respons Azad adalah memanggil ibu Tareq sebagai ‘mak ang’.

“Hang (kau) tanya aku halal atau tidak bukan? Jawapan aku ringkas saja, ‘mak ang’. Sekali lagi nak pesan, sebelum hang nak menunggang (agama), fikir-fikirlah ‘mak ang’ nah,” tulisnya dalam mesej yang didedahkan ‘lawannya’ kepada umum.

Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen mengecam tindakan Azad yang disifatkan melampau kerana melibatkan ibu dalam pergaduhan mereka sehingga netizen mahu memboikot radio Era.

Bagaimanapun ada pemerhati lain berpendapat Tareq juga bersalah kerana pernah menyakiti orang lain serta artis dengan menarik ahli keluarga sasarannya.

Ketika perdebatan dua penjuru itu makin hangat, muncul pula pelakon dan usahawan, Aeril Zafrel yang pernah menjadi mangsa Tareq.

Menegaskan tidak menyebelahi mana-mana pihak, suami kepada pelakon Wawa Zainal itu menganggap tindakan dilakukan Azad ibarat karma terhadap perbuatan Tareq kepada mereka yang pernah ‘terkena’ sebelum ini.

Menurut Aeril, segala teguran yang dilakukan tidak sepatutnya melibatkan mahupun memburukkan ahli keluarga mana-mana individu.

“Aku tidaklah menyokong apa yang Azad cakap itu. Namun, benda itu tak akan terjadi kalau kau tidak mulakan dulu.

“Kau pun nak tegur jangan libatkan ahli keluarga orang. Hari itu kau cakap aku dayus. Isteri dengan anak aku penyebar maksiat, kami masuk neraka dan rezeki tidak halal pun aku diam lagi,” katanya.

Ibaratnya, isu melibatkan individu bernama Tareq ini bukan lagi dua penjuru apabila sebilangan pula netizen mengingatkannya agar jangan ‘menerakakan’ ahli keluarga orang lain sekiranya enggan famili sendiri disentuh. – HIBGLAM

CAPTION

ANTARA selebriti yang pernah ditegur ialah Khairul Aming, Kamal Adli, Que Haidar dan Aeril Zafrel.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok