‘Dah lama berlalu, kalau komen akan berpanjangan’

PELAKON Mira Filzah memilih untuk tidak mengulas lanjut dakwaan dirinya dilabel artis sombong demi mengelakkan isu itu terus diperkatakan.

Menurut Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 33, keputusan tersebut diambil memandangkan  kontroversi berkenaan sudah lama berlalu selain bimbang kenyataan baharu akan mengeruhkan kembali keadaan.

“Sejujurnya saya tak nak komen apa-apa tentang itu sebab dah lama berlalu.

Saya risau kalau beri komen lagi benda itu akan bertambah atau ‘prolonged’ (berpanjangan).

“Saya minta maaf sangat-sangat, saya ada alasan tersendiri,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada majlis ulang tahun ke-10 jenama Cakenis, hari ini.

Pada masa sama, pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu mengingatkan orang ramai agar berjaga-jaga dengan penggunaan media sosial.

Malah, dia mengakui tidak menggunakan Threads secara harian, sebaliknya hanya membuka aplikasi itu sekiranya memerlukan pandangan atau cadangan daripada orang ramai.

“Apa yang saya boleh cakap, sekarang media sosial sangat berleluasa dan berkuasa, apa-apa pun kita kena lebih berhati-hati.

Saya jarang buka Threads, saya gunakan media sosial kalau nak tanya fasal sinus, pergi bercuti sebab Threads sangat berfungsi.

“Tapi untuk buka setiap hari, bukanlah macam saya buka Instagram,” katanya lagi.

Melihat trend beberapa selebriti menutup akaun Threads bagi mengelak perkara negatif, Mira berpendapat media sosial tetap memainkan peranan besar, khususnya bagi penggiat seni dan pencipta kandungan.

“Kita bercakap fasal zaman, era di mana media sosial merupakan satu kepentingan kepada semua orang terutama buat saya dan pencipta kandungan.

Itu adalah profil dan platform. Jadi bergantung kepada setiap individu macam mana nak kawal apa yang mahu ditunjukkan dan yang simpan untuk privasi,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, nama Mira dipetik sebagai antara artis yang bersikap hidung tinggi ketika berdepan dengan peminat.

Namun, dia tampil menegaskan bahawa selebriti juga memerlukan ruang dan masa untuk diri sendiri. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok