ASA 2024 dijangka gah, lebih banyak penyertaan 

MEMASUKI edisi ke-36, penganjuran Anugerah Seri Angkasa (ASA) diambil alih Kementerian Komunikasi sejak 2022 bagi menggalakkan badan penyiaran swasta menyertai majlis pengiktirafan itu.

Setiausaha Bahagian Pembangunan Kandungan Kementerian Komunikasi, Norhadznita Mohammad Ilham berkata, tujuan utama adalah mewujudkan persaingan sihat dalam industri penyiaran dengan penyertaan lebih banyak stesen penyiaran swasta tempatan.

Malah, katanya, sejak pengambilalihan, ASA bukan sahaja menerima penyertaan lebih meluas bahkan turut meraih kepercayaan banyak syarikat korporat yang ingin turut sama menjayakan acara pengiktirafan buat pengkarya itu selaku penaja.

ASA bermula dengan RTM dan kemudian pada 2014 dibuka kepada badan penyiaran swasta, namun hakikatnya kita mahukan lebih banyak penyertaan pada setiap musim kerana ada banyak produk bagus di luar sana.

“Apabila kementerian mengelolakan penganjuran ASA pada 2022, beberapa penambahbaikan kita lakukan sama ada dari sudut format pertandingan mahupun pengendalian anugerah ini.

“ASA 2022 meraih sambutan apabila menerima lebih banyak penyertaan daripada penyiaran swasta selain mendapat sokongan penajaan,” katanya pada sidang media ASA 2024 di Putrajaya, baru-baru ini.

Pada masa sama, Norhadznita merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pencalonan ASA 2024 berkata, semua penyiar juga dapat mempertingkatkan mutu bahan disiarkan hasil analisis yang dibuat bermula pada penganjuran ASA 2022.

Kita buat ‘post mortem’ selepas majlis ini sebagai kaedah mempertingkatkan mutu dan daripada situ semua penyiar dapat mempertingkatkan kandungan atau memikirkan strategi dalam menghasilkan kandungan lebih baik lagi.

“Ini adalah pendekatan baharu dilakukan atas dasar memupuk semangat berkembang bersama-sama dengan semua badan penyiaran tidak kira kerajaan mahupun swasta.

“Pada masa sama, kita mahu seluruh badan serta penggiat industri penyiaran negara meningkat, sekali gus terus membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara,” ujarnya.

Bagi edisi tahun ini, ASA yang diadakan dua tahun sekali mempertandingkan 60 kategori iaitu 40 kategori televisyen (TV), 16 kategori radio dan empat kategori media baharu termasuk Podcast Terbaik.

Selain itu, dua kategori khas iaitu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Seri Angkasa bakal diumumkan pada malam kemuncak nanti menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 62 kategori.

Mengenai pengurangan jumlah kategori bagi ASA 2024, Norhadznita menjelaskan, ada beberapa kategori digabungkan selain melihat keperluan format anugerah tersebut.

“Ada kategori dikekalkan, ada digabungkan dan ada juga diperbaharui yang menjadikan 60 kategori sekarang, berbanding 70 pada 2022.

Podcast Terbaik adalah kategori media baharu yang diperkenalkan selepas melihat kerancakan program audio siar pada masa kini sama ada di bawah stesen televisyen dan agensi serta milik persendirian.

“Begitupun, bagi pencalonan kategori media baharu ini syaratnya adalah podcast berlesen di bawah  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.

Pada masa sama, ujar Norhadznita, Drama Terbaik dan Dokumentari Terbaik bakal membawa pulang hadiah Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang mula diperkenalkan pada edisi lalu.

Pencalonan ASA 2024 akan dibuka selama dua minggu bermula 1 hingga 15 Julai ini menerusi dalam talian melalui laman www.anugerahseriangkasa.gov.my. -HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok