PERMULAAN tahun 2024 menjadi fasa lebih mengggembirakan buat pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad yang bakal menerima ahli keluarga baharu apabila disahkan hamil anak kedua.
Menurut pemilik nama lengkap Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 32, usia kandungannya sudah memasuki trimester kedua iaitu sekitar empat hingga enam bulan.
“Kami ada berita baik untuk dikongsi. Tahun 2024, insya-Allah akan berempat.
“Alhamdullillah, syukur padaMu. Kami menanti kelahiran anak kedua dan usia kandungan sudah di trimester kedua,” katanya dalam satu hantaran Instagram.
Sama seperti individu lain, hos program Wanita Hari Ini itu turut meminta orang ramai terus menitipkan doa yang baik buat dirinya dan keluarga.
‘Keluarga kami akan bertambah besar. Tolong doakan keluarga kecil kami dan semoga yang baik-baik untuk kalian juga,” katanya lagi.
Berita gembira tersebut sekaligus mengubat duka Uyaina yang pernah mengalami keguguran anak kedua sekitar Mei lalu.
Terdahulu, Uyaina dan Syahiran mendirikan rumah tangga pada 21 Disember 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Raja Urhan kini berusia dua tahun. – HIBGLAM