NAMANYA sudah terpahat kukuh di Malaysia. Apa sahaja lagu yang dilancarkan pasti mudah meledak di negara jiran.
Begitulah penangan figura bernama Cakra Khan.
Berbekalkan suara serak-serak basah yang menjadi signaturnya sejak 2012, Cakra sekali lagi menyihir peminat pada Konsert Dream Festival Collaboration Volume 4 di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sepanjang konsert yang berlangsung selama dua jam itu, Cakra atau nama penuhnya Cakra Konta Paryaman berjaya mencetuskan mood ‘galau’ dalam kalangan penonton yang hadir dengan dendangan lagu-lagu cintanya.
Lantunlah lagu apapun, semuanya akan disahut penuh beremosi oleh lebih 2,000 penonton yang hadir pada malam tersebut.
Membuka tirai persembahan sekitar pukul 9 malam, penyanyi berusia 31 tahun itu muncul menerusi lagu Adalah Aku dan dua buah karya berhantunya, Setelah Kau Tiada serta Mencari Cinta Sejati yang juga merupakan ‘soundtrack’ filem Rudy Habibie.
Memulakan bicara bersama penonton, Cakra melahirkan rasa teruja kerana masih diberi peluang mengadakan konsert di Malaysia.
“Mungkin bukan kali pertama tetapi terima kasih kerana selalu memberi sambutan luar biasa setiap untuk kehadiran saya ke sini.
“Persembahan saya pada malam ini sebagai ucapan terima kasih buat anda semua yang tidak pernah jemu memberi sokongan selama ini,” katanya.
Meneruskan acara, dia terus memukau penonton menerusi lagu Kepada Hati, Hal Hebat dan karya terbaharunya, Tenesse Whiskey.
Tenesse Whiskey yang bergenre ‘country’ pernah dipopularkan penyanyi asalnya iaitu David Allan Coe sekitar 1981 sebelum dirakam semula sebagai lagu saduran oleh Cakra pada Ogos lalu.
Pada pertengahan konsert, Cakra menuai perhatian ramai apabila sebak sehingga mengalirkan air mata tanda kerinduan terhadap Allahyarham bapa tercinta, Hermana yang meninggal dunia akibat angin ahmar pada 21 Ogos 2020 lalu ketika mendendangkan lagu Monster.
“Ada beberapa perkara yang cukup saya sesali sehingga sekarang.
“Saya tidak pernah beriya atau betul-betul menghargai apa yang ada di depan mata.
“Maaf kerana beremosi, hanya Tuhan sahaja yang tahu rasa rindu itu ketika ini,” ujarnya sebak.
Usai memancing emosi penonton, konsert tersebut turut menyaksikan dia berduet bersama penyanyi baharu kelahiran
Indonesia, Riri Moeya menerusi lagu Terlanjur Cinta yang merupakan nyanyian asal kumpulan Ungu bersama Datuk Seri Rossa.
Selain Riri, Cakra turut mendendangkan lagu popularnya bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Seluruh Cinta dengan juara Big Stage musim kelima, Nadeera.
Sebelum memasuki segmen terakhir, Cakra sempat menitipkan ucapan penghargaan kepada Rossa yang disifatkan sebagai individu paling banyak membantu sepanjang karier seninya selama ini.
“Rossa orang pertama yang bawa saya ke Malaysia.
“Dia tidak pernah sesekali terlepas untuk hadir ke setiap konsert saya. Dia sangat baik dan berhati mulia,” kongsinya ditujukan buat Rossa yang hadir ke konsert.
Anak kelahiran Pangandaran, Jawa Barat, Indonesia itu turut membuai emosi ramai menerusi lagu Sial milik Mahalini dan Im Not The Only One nyanyian asal Sam Smith.
Menutup tirai persembahan, Cakra meninggalkan memori manis dengan ‘menyihir’ penonton menerusi dua lagu popularnya iaitu Harus Terpisah dan Kekasih Bayangan.