SKETSA mencuit hati seekor anjing betina bernama Hurricane yang melakonkan watak sebagai ‘pengarah’ kepada penjaganya, Adrian Stoica berjaya mengagumkan dunia apabila muncul juara program America’s Got Talent (AGT) musim ke-18, awal pagi tadi.
Pertandingan akhir AGT yang berlangsung di Pasadena Civic Auditorium, California, Amerika Syarikat itu sekali gus melayakkan lelaki berasal dari Turin, Itali itu bersama anjingnya membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah AS$1 juta (RM4.71 juta).
Bukan itu sahaja, haiwan belaaan yang menewaskan sembilan lagi peserta akhir AGT itu turut berpeluang membuat persembahan di America’s Got Talent Presents Superstars Live di Luxor Hotel and Casino di Las Vegas.
Juri AGT, Simon Cowell yang kelihatan tidak dapat menahan ketawa sewaktu menonton persembahan lucu Stoica dan Hurricane menyifatkan persembahan mereka sebagai ‘pelakon’ hebat yang wajar diambil untuk berlakon dalam filem.
“Hurricane sangat bagus berlakon. Dia patut diberi peluang untuk muncul di dalam filem atau persembahan muzikal. Dia adalah ‘seekor’ bintang,” kata Cowell.
Dalam persembahan yang ditonjolkan itu, Stoica memaparkan situasi kononnya dia mahu keluar menikmati makan malam bersama seorang lagi juri AGT, Sofia Vergara dan telah meminta bantuan anjingnya (Hurricane) untuk bersiap.
Layaknya seperti pengarah, Hurricane telah membantu tuannya dengan memilih pakaian yang harus dipakai dan mengarahkan lelaki itu untuk melakukan beberapa perkara ‘romantik’ untuk memikat hati Vergara.
Kepintaran dan aksi yang dipamerkan anjing comel itu turut membuatkan penonton terhibur dan berdiri kerana kagum melihat kelincahannya beraksi.
Sewaktu pengacara AGT, Terry Crews mengumumkan kemenangan lelaki itu bersama anjingnya, kedua-dua mereka kelihatan gembira sehingga menitiskan air mata.
Pentas akhir AGT yang ditentukan sepenuhnya oleh undian penonton menyaksikan persembahan silap mata oleh Anna DeGuzman menenang tempat kedua dalam pertandingan tersebut. Tempat ketiga pula menjadi milik Kumpulan Murmuration dari perancis yang menampilkan persembahan berbentuk tarian.
Peserta asal Indonesia yang disebut-sebut berpeluang menjadi juara AGT, Putri Ariani pula terpaksa berpuas hati apabila sekadar berada di tempat keempat, sekali gus membuatkan Cowell yang begitu meminati persembahannya, terkejut dengan keputusan tersebut.
Penyanyi cacat penglihatan itu tampil mendendangkan lagu berjudul Run oleh Snow Patrol, duet bersama penyanyi terkenal, Leona Lewis. – HIBGLAM