CUBIT paha kiri, pahan kanan terasa. Itulah yang dirasai pelakon, Kamal Adli apabila isterinya disindir netizen kerana belum dikurniakan zuriat.
Namun, pemilik nama sebenar Ahmad Kamal Ahmad Adli itu enggan larut dalam emosi sebaliknya menasihatinya isterinya supaya tidak mengendahkan kata-kata negatif itu.
“Jujurnya, saya ada minta Uqasha supaya jangan ambil kisah mulut orang sebab mereka tidak tahu cerita sebenar.
“Mereka hanya tahu menghakimi tanpa memikirkan hati dan perasaan orang lain.
Saya tengok netizen sekarang makin lama makin pelik. Komen yang dilontarkan kadang tak tercapai dek akal, tidak tahu apa motifnya, macam sudah makin teruk dan tidak terkawal,” luahnya ketika ditemui di majlis sidang media drama B.A.R.I.S.T.A: Misi Terpaling Sulit, semalam.
Pada masa sama, Kamal mendedahkan takut takut untuk membuka sebarang aplikasi media sosial melainkan atas urusan kerja selepas insiden serangan individu tidak dikenali di Singapura, Mac lalu.
Masih trauma dengan kejadian itu, dia juga kurang berkongsi perihal kehidupan peribadi kerana bimbang terus menjadi sasaran perkara tidak diingini.
“Selepas apa yang jadi, saya kurang minat dengan media sosial. Kalau tengok semua platform media sosial saya, jarang ada hantaran baharu.
“Banyak perkara yang saya fikirkan, jadi takut dan automatik hilang mood walaupun saya tahu media sosial adalah sebahagian daripada kerja. Kejadian itu beri impak sangat besar kepada saya.
“Jauh di sudut hati saya tertanya-tanya apa salah saya? Saya tak kacau orang dan hanya buat kerja sendiri, tetap ada yang tidak puas hati,” katanya.
Selain itu, pelakon berusia 37 tahun terbabit turut mengingatkan isterinya, Uqasha Senrose supaya lebih berhati-hati dan tidak terlalu berkongsi hal rumah tangga.
“Saya beritahu Uqasha supaya ‘post’ gambar dia atau kerja sahaja, tidak perlu gambar kami berdua sebab takut ada orang salah anggap sehingga terbit rasa cemburu,” jelasnya.
Terdahulu, Kamal Adli cedera parah di kepala selepas dipukul dengan chota oleh seorang individu tidak dikenali di Singapore Expo Hall.
Suspek didakwa melakukan tindakan tersebut kerana cemburu Kamal menikahi Uqasha.
Kamal Adli atau nama penuhnya Ahmad Kamal Ahmad Adli mendirikan rumah tangga dengan Uqasha pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang. – HIBGLAM