[VIDEO] Nad Zainal? Maaf, tak kenal – Nabila Huda

REAKSI selamba Nabila Huda, 38, mengakui tidak mengenali pelakon, Nad Zainal yang pernah menjadi kawan rapatnya sebelum ini mengundang perhatian ramai.

“Siapa dia? Pelakon ke? Saya tak pernah kenal dia.

“Mungkin saya pelupa sebab pernah dijangkiti Covid-19 sebanyak dua kali tetapi yang pasti, memang tidak kenal dan tidak tahu siapa dia,” katanya kepada HibGlam semalam.

Dalam pada itu, dia juga berkali-kali menegaskan tidak mengenali aktres tersebut selain menunjukkan dirinya telah disekat (block) oleh Nad dalam Instagram.

“Siapa nama dia tadi, Nad Zainal? Tak kenal.

“Kalau saya kawan dia, dalam Instagram pasti ada. Saya kena block padahal tidak kenal pun.

“Seperti kes Masya Masyitah yang saya jujur tak kenal dan sama juga dengan isu ini. Maaf sangat, betul-betul tak tahu mengenai dia,” ujarnya.

Terdahulu, Nabila atau nama penuhnya Nabila Huda Suhaimi menuai perhatian ramai apabila meninggalkan komen menyatakan tidak mengenali Nad dalam sebuah hantaran Instagram memaparkan temu bual isteri Ungku Ismail itu bersama pihak media.

Dalam temu bual tersebut, Nad memberitahu enggan mengambil kisah dan mengusutkan pemikirannya dengan isu remeh seperti pergaduhan dalam persahabatan.

Fokusnya pada ketika ini ialah untuk suami dan anak-anak termasuk bayi yang bakal dilahirkan tidak lama lagi.

Spekulasi bermasam muka itu mula bertebaran selepas Nad pulih daripada koma akibat pendarahan dalam paru-paru sebelum mendirikan perkahwinan kali kedua dengan Ungku Ismail pada Januari lalu.

Selain Nabila, antara nama rakan selebriti lain yang terkait dalam isu ini ialah Sherry Alhadad, Sharifah Sakinah dan Marsha Milan. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HibGlam (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok