Sering dilabel sebagai sebuah kumpulan yang sentiasa ceria dan tiada tekanan, ahli kumpulan LE SSERAFIM tampil mendedahkan cara mereka mengatasi tekanan dan kecaman sepanjang menjadi idol.
Dalam sebuah temu bual, kumpulan gadis lima anggota itu menyifatkan tekanan dan kecaman sebagai asam garam dalam perjalanan karier seni mereka.
Mengulas lanjut, ketua kumpulan, Chaewon berkongsi bahawa mereka memberi kesedaran kepada peminat untuk sentiasa kuat menghadapi tekanan dan kecaman yang dilemparkan oleh masyarakat.
“Kami mahu pendengar dan peminat kami mengikut hati dan kepercayaan mereka sendiri.
“Sebenarnya, kalian boleh ubah tekanan dan kecaman itu kepada perkara yang positif. Dengan melakukan itu, kalian akan terdorong untuk berusaha lebih kuat untuk melakukan sesuatu yang lebih hebat,” katanya.
Selain itu, paling penting kata mereka, sokongan berterusan peminat menjadi penguat semangat mereka untuk terus berkarya dan berlatih bersungguh-sungguh demi menyajikan nyanyian seiring tarian yang berkualiti.
“FEARNOT (nama kelab peminat), memainkan peranan penting dalam kejayaan kami. Daripada semua ini, kami menganggap hubungan kukuh antara kami dan peminat sebagai kunci terpenting untuk kejayaan setakat ini.
“Kami telah membuat persembahan di hadapan macam-macam penonton, tetapi tiada apa yang setanding dengan perasaan kami ketika beraksi di hadapan peminat setia kami,” kata mereka penuh semangat.