DIDAKWA sudah berkali-kali mendesak mahu diceraikan bukan hanya bermula tahun ini, wanita malang Nurul Shuhada memulangkan paku buah keras menyalahkan suaminya, pelakon Hafidz Roshdi sebagai punca segala kemelut dalam rumah tangga mereka selama ini.
“Kalau seorang isteri minta cerai, pasti ada sebab. Kalau hidup bahagia, dibelai dan disayangi suami, pastinya tidak berlaku. Jadi, puncanya dari mana?
“Puncanya daripada dia (Hafidz) dan sudah mengaku serta akan buat pengesahan mengenai hubungannya dengan wanita tersebut.
“Jadi semua orang boleh tahu sebenarnya apakah punca berlakunya perceraian antara saya dan dia,” ujarnya.
Ditanya sama ada terdapat kemungkinan akan berbaik dengan Hafidz, dia memberitahu pintu hatinya sudah tertutup dan berharap segala-galanya akan segera berakhir dengan baik.
“Selepas semua yang berlaku, pintu hati saya sudah tertutup dan mahu tamatkan semuanya. Dia yang pilih dan membentuk jalan ke arah ini.
“Sepatutnya berakhir dalam keadaan baik tetapi untuk berkawan baik dengan bekas suami mungkin tidak,” katanya yang ditemani oleh peguam syarie, Nurfarhana Abd Manaf hari ini.
Hari ini, mahkamah menetapkan 27 Julai depan sebagai tarikh baru bagi prosiding lafaz cerai pasangan berkenaan selepas plaintif dan defendan selesai memberi kenyataan secara bertulis serta lisan. – HIBGLAM