BUKAN lagi si jejaka solo penggoda hati wanita, penyanyi rap popular, MK K-Clique kini meleraikan teka-teki ramai apabila menamatkan zaman bujang bersama suri hatinya, Siti Hajaar Syeikh Nordin.
MK juga pelakon berusia 27 tahun itu sah bergelar suami kepada wanita pilihan Siti Hajaar , 26 dalam sebuah majlis di Masjid Jami’il Huda, Ampang, sekitar pukul 9.35 pagi tadi.
Pasangan merpati dua sejoli itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid Jami’il Huda, Ampang, Haji Mahdi Mat Zain diwalikan bapa pengantin perempuan, Syeikh Nordin Syeikh Ahmad.
Majlis yang berlangsung sederhana itu menyaksikan MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan menyerahkan mas kahwin sebanyak RM302.
Siti Hajaar, 26, menerima seutas gelang tangan emas namun pasangan sama cantik sama padan itu memilih untuk merahsiakan jumlah wang hantaran mereka.
Pada majlis sama, MK yang kelihatan kacak mengenakan persalinan serba putih turut menyerahkan enam dulang hantaran berbalas jumlah sama kepada pengantin perempuan.
Majlis akad nikah dihadiri 100 orang tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan rapat kedua pengantin.
Termeterainya ikatan cinta MK dan Siti Hajaar hari ini menoktahkan spekulasi peminat selama ini yang selama ini tertanya-tanya tentangnya sejak memuat naik foto berukuran pasport lengkap memakai songkok dalam Instagram. — HIBGLAM