PETALING JAYA – Filem arahan Syafiq Yusof, Polis Evo 3 terus melangkah bergaya apabila memungut RM50 juta selepas 24 hari tayangan di pawagam tempatan, Singapura dan Brunei.
Sekali gus, naskhah genre aksi komedi terbitan Astro Shaw dan Skop Productions Sdn Bhd itu dianggap sebagai filem francais paling laris di Malaysia sepanjang masa.
Penerbit Eksekutif merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, walaupun bersaing dengan francais besar Hollywood, Polis Evo 3 masih meraih kepercayaan penonton.
“Kejayaan naskhah yang mendapat sambutan hebat khalayak ini diharap menjadi penyuntik semangat buat kami dan penerbit lain untuk terus menghasilkan karya berkualiti.
“Penonton sudah membuktikan sokongan mereka terhadap filem tempatan menerusi kutipan.
sebanyak RM50 juta ini tabd secara tidak langsung mengukuhkan jenama Polis Evo sebagai francais nombor satu negara.
“Terima kasih kepada pawagam yang masih memberi sokongan dengan memberi jumlah tayangan yang masih tinggi, biarpun sudah memasuki minggu keempat di panggung,” katanya.
Selain menampilkan Zizan Razak dan Shaheizy Sam, Polis Evo 3 yang menemui penonton pada 25 Mei turut membariskan Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi dan Eyka Farhana.
Terdahulu, Polis Evo yang ditayangkan pada 2015 mencatat rekod sebagai filem tempatan pertama menembusi kutipan box office dengan kutipan lebih RM18 juta, manakala Polis Evo 2 (2018) memungut sebanyak RM23 juta.
Filem arahan abang Syafiq iaitu Syamsul berjudul Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan masih kekal filem terlaris tempatan dengan Polis Evo kita mengikuti rapat di tangga kedua.
Terdahulu Polis Evo 3 mengetepikan filem antarabangsa, Fast X dengan kutipan melebihi dua kali ganda pada hari pembukaan sekaligus mendominasi carta kutipan panggung. – HIBGLAM