Hubungan pelawak popular, Shuib bersama kekasihnya, Watie Hanifiah akan memasuki fasa baharu apabila mengesahkan bakal disatukan sebagai suami isteri menjelang Jun depan.
Biarpun tidak memaklumkan secara terperinci tentang tarikh sebenar perkahwinan mereka, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Mohamad, 39, berkongsi, persiapan menuju hari bahagianya sudah melepasi 30 peratus.
“Setakat ini sudah persiapan sudah 30 peratus melibatkan tempahan dewan. Saya tidaklah mahu sebuah majlis yang gah, tetapi tidak juga terlalu kecil, sebab memikirkan ahli keluarga yang lain.
“Memandangkan ini pertama kali Watie berkahwin, jadi sudah tentu keluarganya mahu meraikan. Biarlah sederhana tapi menggembirakan semua orang,” kata Shuib ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa dan sidang media Melakar Pahala Warnai Raya Suria FM, semalam.
Biarpun ini merupakan kali kedua dia bergelar suami, Shuib tetap berasa gementar menunggu saat disatukan kelak.
Pada masa sama, duda empat anak itu mengakui sangat memerlukan seseorang untuk menjadi pendamping dan peneman hidupnya apatah lagi anak-anaknya masih kecil dan memerlukan kasih sayang seorang ibu.
“Bila tengok anak-anak, saya memang perlukan seseorang untuk ada dengan saya. Sebab kita saja tahu kemampuan diri.
“Bila ada seseorang yang sudi hidup bersama-sama, itu satu pemberian daripada Allah. Saya perlukan ‘support system’ yang baik sebab saya tak pandai berseorangan.
“Dari dahulu saya suka kemeriahan. Bila bersendirian, itu bukan diri saya. Saya orang yang suka keluarga besar. Lagi besar, lagi meriah. Bila Allah hadirkan orang yang sudi jaga saya dan anak-anak, sudah tentu saya patut hargai,” katanya.
Bercakap tentang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, Shuib akan bercuti seminggu untuk pulang beraya di kampung halaman ibu mentuanya, (ibu tiri Siti Sarah) di Kedah.
Lebih manis, Syawal kali ini semakin bermakna apabila keluarganya akan bertemu dengan keluarga Watie buat pertama kali sekali gus menyambut raya bersama-sama.
“Insya-Allah saya akan beraya dengan Watie dan keluarga dia sekali pada hari raya kedua. Itu akan menjadi pertemuan pertama keluarga besar kedua-dua belah pihak.
“Tahun ini adalah waktu terbaik untuk jumpa keluarga besar masing-masing,” kata Shuib.
Sebelum ini, hubungan mereka mula dihidu selepas peminat meneka pasangan itu kerap meluangkan masa bersama seperti menonton konsert dengan berpakaian sedondon.
Bahkan, perkongsian Shuib bergambar bersama anak-anaknya ketika malam makan di sebuah restoran menuai perhatian selepas peminat melihat pantulan imej Watie pada cermin.
Selepas kematian Siti Sarah akibat Covid-19 pada 9 Ogos 2021, Shuib kerap dikaitkan dengan beberapa selebriti wanita antaranya Wan Sharmila dan Zara Zya.
Shuib mendirikan rumah tangga dengan Siti Sarah pada 26 Februari 2011.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin dan Ayash Affan. – KOSMO! ONLINE