Pelakon dan usahawan, Datuk Rosyam Nor yang dikurniakan cucu kelima semalam menganggap kehadiran ahli keluarga baharu sebagai hadiah Ramadan.
Katanya, berpeluang mengendong si kecil yang dilahirkan di sebuah pusat perubatan buat pertama kali awal pagi semalam menyuntik rasa syahdu dan teruja.
“Alhamdulillah, bertambah lagi keluarga besar saya apabila anak ketiga, Nurlisa menimang cahaya mata pertamanya yang juga bayi perempuan.
“Nampaknya hari raya tahun ini tambah meriah apabila kesemua cucu saya yang terdiri daripada empat perempuan dan seorang lelaki berkumpul.
“Antara syahdu dan teruja, perasaan ini muncul bersilih ganti terutama sebaik dapat mengendong cucu baharu kami,” katanya kepada Kosmo! Online.
Kelmarin, aktor yang mendapat gelaran Hero Malaya itu berkongsi kegembiraan apabila menimang cucu kelima yang dilahirkan pada jam 2.38 pagi.
Menerusi video dalam Instagram, Rosyam atau nama sebenar Mohamed Noor Shamsuddin, 56, turut menzahirkan kesyukuran atas kelahiran penyambung zuriat yang dianggap hadiah besar dari Allah.
Begitupun, bintang filem KL Menjerit itu belum memberikan nama kepada cucunya seperti yang diminta anak dan menantunya.
Sementara itu dalam ruangan komen ramai peminat melayangkan ucapan tahniah selain memuji keadaan fizikalnya yang disifatkan seakan tidak dimamah usia.
“Tahniah Datuk, gaya macam anak anak bongsu,” kata seorang pengguna laman maya.
“Atuk macam anak sendiri, rambut hitam elok lagi,” ulas netizen lain.
Terdahulu, rumahtangga yang dibina pada 1989 dengan Datin Runika Mohd. Yusof dikurniakan lima anak perempuan. – KOSMO! ONLINE