LELAKI gatal yang buat orang geli itu Firzan, bukan Rosyam Nor.”
Demikian penjelasan aktor versatil, Datuk Rosyam Nor mengenai watak lelaki separuh abad dalam drama bersiri Jiwa Seorang Pentaksub yang kini hangat diperkatakan di laman sosial.
Menerusi naskhah siaran slot Samarinda TV3 itu, Rosyam menonjolkan sisi hitam seorang individu berpengaruh yang sanggup mengejar kekasih anaknya sendiri, Diana lakonan Sophia Albarakbah.
Mengulas lanjut mengenai Datuk Firzan, akuinya dia hanya menjiwai skrip berkisar lelaki pemanipulasi yang terlalu taksub terhadap seorang wanita walaupun individu itu merupakan calon menantunya.
Bahkan, katanya jika mengikut alur cerita arahan Nur Ain Shariff itu, keperibadian jelek Firhan semakin terserlah selepas dapat merebut Diana daripada tangan anaknya, Aidil (Shahz Jaszle).
“Sebelum ini saya pernah bekerja dengan Nur Ain dalam drama Keluarga Itu, tapi saya boleh jamin penonton lebih bencikan peranan yang saya bawa dalam Jiwa Seorang Pentaksub
“Firzan tak perlu ketap bibir untuk buat orang geli atau menyampah, cukup dengan ‘body language’ serta desakan terhadap Diana terutama selepas mengahwininya.
“Paling ikonik mungkin ketika babak malam pertama waktu mereka berada dalam bilik pengantin. Rasanya cukup dengan tolak Diana kita sudah tahu tahap jijiknya lelaki itu,” katanya kepada HibGlam.
Mengulas mengenai kecaman netizen sehingga ada yang secara berseloroh mahu memboikotnya gara-gara watak Firzan, akui Rosyam atau Mohamed Noor Shamsuddin, 59, segala komen sama ada ‘ganas’ atau baik memang dinantikannya.
“Sebagai pengkarya kita juga tak boleh beremosi. Kalau penonton marah sampai kata nak boikot, sanggup ludah kalau jumpa dan sebagainya selagi bukan mengancam nyawa kita tengok dari sudut positif.
“Itu bermakna orang tengok, orang hayati serta orang ambil di sebalik kisah itu sebagai pengajaran. Kita bukan nak didik masyarakat meniru perkara buruk, tapi ambil iktibar.
“Kalau sampai dibenci itu juga bermaksud lakonan kita sampai ke hati, malah secara amnya keberkesanan lakonan saya sebagai isyarat rakan seperjuangan lain yang sebaya juga boleh galas peranan utama,” ulasnya.
Pada masa sama, penerbit berpengalaman terbabit tidak ketinggalan memuji kehebatan lakonan barisan pelakon muda yang membintangi naskhah terbitan Suhan Movies & Trading itu.
Baginya, Sophia yang menjadi gandingan utamanya menyerlahkan kemampuan sebenar sebagai aktres serba boleh apabila menonjolkan lakonan berkesan.
“Secara peribadi saya rasa karakter Firzan juga ‘menjadi’ disebabkan penjiwaan semua pelakon yang terbabit dalam karya ini sehingga ia menjadi sebutan ramai.
“Sophia pada sisi lain membuktikan dia seorang aktres yang bagus, bukan seperti diperkatakan segelintir pihak sebelum ini. Dia sarat penghayatan selain mampu membuatkan penonton kasihan serta geram dengan sikapnya.
“Apabila setiap pelakon tidak kira tunjang utama atau karakter sokongan memberikan lakonan terbaik, plot penceritaan seterusnya dapat dijiwai penonton dengan sepenuhnya,” ujarnya.
Berharap penonton terus mengikuti perkembangan drama 25 episod yang disiarkan sejak 1 Jun lalu sehingga ke penamat, dedahnya lagi Jiwa Seorang Pentaksub hanya kisah untuk dijadikan pengajaran.
Terdahulu, naskhah yang diperkatakan netizen itu tular dalam media sosial berikutan kemenjadian karakter digalas aktor berwibawa terbabit biarpun pada masa sama keperibadian ahli politik yang dibawakannya mencetuskan kecaman. – HIBGLAM
