Syif Malam campurkan komedi gelap, naratif seram 

APABILA bekerja syif, selalunya yang paling tidak digemari apabila tiba giliran waktu malam.

Bukan sahaja seram, durasi waktu bekerja juga terasa seperti panjang.

Banyak dugaan yang dilalui tatkala terpaksa bekerja mencari rezeki pada waktu orang lain sedang lena diulit mimpi.

Perkara tersebut ternyata memberi inspirasi kepada syarikat Empire Film Solution Sdn. Bhd. dan Thinkerbell Studios Sdn. Bhd. untuk menghasilkan sebuah filem seram berjudul Syif Malam.

Filem yang bakal muncul menghiasi pawagam seluruh negara itu membawa naskhah sarat komedi gelap seiring plot twist yang boleh dikatakan segar selain bakal menjangkau piawaian kebiasaan filem bergenre sedemikian.

1.6 juta penonton

Penerbitnya, Mohamad Zubir Badar Shair berkata, idea menerbitkan Syif Malam timbul setelah menonton satu drama pendek yang tular dalam saluran YouTube Awanimbus beberapa tahun lalu.

“Menerusi drama pendek berdurasi 14 minit itu, saya lihat konsep dan jalan ceritanya cukup menarik dan menyeramkan, malah sudah ditonton sebanyak 1.6 juta penonton pada waktu itu.

“Kemudian, timbul idea untuk dikembangkan pula menjadi sebuah filem, tambahan pula genre seram cukup digemari penonton,” ujarnya.

Meletakkan harapan yang tinggi, Zubir yakin filem yang berkisar tentang warga kerja syif malam diganggu perkara mistik mampu menarik perhatian peminat filem bergenre seram.

“Tidak dinafikan pasti ada segelintir daripada kita yang pernah berhadapan dengan pengalaman seram ketika bekerja waktu malam,” katanya.

Penggambaran Syif Malam tiada sebarang kejadian misteri yang mengganggu urusan kelancaran perjalanan filem.

“Alhamdulillah, dengan izin Tuhan semuanya dipermudahkan. Tiada kejadian seram yang berlaku sepanjang penggambaran di lokasi,” ujar pengarah, Fairus Anuar.

Bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 7 Disember ini, Syif Malam dibintangi barisan pelakon seperti Taqim Zaki, Anas Ridzuan, Shahkimin, Zera Hariz, Kamarul Eqifshah, Sobri Anuar, Riezman Khuzaimi, Ismeth dan Mili Supina.

Alur cerita yang bermula apabila tiga rakan sepejabat iaitu Ikmal, Botak dan Mok yang bekerja sebagai pereka grafik, secara tidak sengaja merungkai mitos seram di bangunan tempat mereka bekerja.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok