“BILA tak nak mendoakan yang baik, berdiam diri pun dah cukup membantu.”
Demikian kata pelakon Azhan Rani yang tampil mempertahankan sahabatnya, Beto Khusyairy apabila didakwa menjadi penyebab kemalangan konvoi Solidariti Wings Motogang Society baru-baru ini.
Jelas pemilik nama penuh Azhan Abdul Rani itu, segelintir pihak yang membuat tuduhan tanpa mengetahui hujung pangkal cerita sebaiknya berdiam daripada menghamburkan kata-kata tidak sepatutnya.
“Dulu dua sahabat inilah yang pertama hulur tangan menguruskan sakit pening aku dari mula hari kemalangan sampai aku boleh angkat tangan sendiri semula.
“Hari ini hari dia pula. Allah uji. Ramai yang mendoakan kesejahteraan dia tapi ada juga yang menjadikan musibah ini bahan sindiran dan hentaman melulu menyalahkan sahabat aku ini.
“Apa yang lebih utama sekarang ni, Allah dah selamatkan sahabat aku,” katanya menerusi sebuah hantaran dalam Instagram.
Tambah aktor berusia 47 tahun itu lagi, kecelakaan yang menimpa rakannya seakan sama dengan kemalangan yang dihadapinya sebelum ini akibat kecuaian orang lain.
“Kemalangan ini macam apa yang aku tempuh dulu, datang dari kecuaian orang lain, aku tanggung dua besi seumur hidup dengan 26 skru di bahu.
“Aku tak cerita semua Ini sebab aku cuma perlu jelaskan kepada pihak berkuasa. Cerita benda ini kepada umum hanya akan timbulkan debat melainkan aku mahu menunggang populariti isu tersebut.
“Itu yang sahabat aku tengah tanggung sekarang. Selain doa dan semangat, turut sama naik caci maki, tuduhan, hentam menghentam di sana-sini dalam media sosial,” ujarnya panjang lebar.
Sementara itu, pelakon filem Tebus The Movie itu turut menitipkan pesanan kepada orang ramai agar memberi kata-kata semangat kepada aktor terbabit selain tidak menuding jari menyalahkan sesiapa.
“Banyak hati yang perlu dijaga, jadi mohon empati semua dan berilah ruang kepada sahabat aku fokus apa yang lebih penting sekarang sebab tiada siapa yang mahu kemalangan.
“Sebolehnya bila benda macam ini jadi, kami pilih berdiam tapi memang tak mampu nak simpan. Secermat mana pun kita di jalan raya mampukah kita mengelak takdir jika bertembung dengan pengguna lain yang cuai? Kemalangan tidak pilih siapa,” ujarnya.
Terdahulu, Beto Kusyairy dilaporkan terlibat dalam kemalangan ketika menyertai konvoi Solidariti Wings Motogang Society ke Masjid Negeri Ipoh, Perak sekitar pukul 5 petang, Isnin lalu.
Dalam kejadian yang berlaku di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Ladang Bikam, jentera ditunggang Beto terjatuh selepas bergesel dengan motosikal lain yang memasuki laluannya secara tiba-tiba. – HIBGLAM