PETALING JAYA – Mengakui sudah lima tahun menjalin hubungan istimewa dengan pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid, pelakon Eyka Farhana menyerahkan urusan jodoh mereka kepada ketentuan Tuhan.
Pemilik nama sebenar, Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi itu berkata buat masa sekarang hubungan mereka berjalan seperti biasa dan belum ada perbincangan untuk ke fasa yang lebih serius.
“Ya, dia seorang teman istimewa. Cuma itulah, buat masa ini banyak lagi perkara saya ingin capai dalam hidup.
“Namun, kalau memang sudah sampai jodoh dengan seseorang itu, tolak macam mana pun, tetap berkahwin juga.
“Cuma buat masa sekarang, tidak adalah berbincang mahu ke fasa yang lebih serius. Mungkin belum masa sesuai,” katanya kepada HibGlam.
Ditemui selepas majlis kesyukuran filem Anak Perjanjian Syaitan 2, baru-baru ini, pelakon berusia 28 tahun itu mengakui, sedang dalam misi mencapai impian kehidupan dan kerjaya masing-masing.
“Sekarang, apa yang saya rasa mahu atau perlu untuk kongsi, saya kongsi. Hubungan kami pun seperti biasa sahaja.
“Kami sudah berkawan hampir lima tahun. Ramai juga tanya kenapa saya mahu sorok-sorok (hubungan dengan Akhyar), tetapi apabila saya terbuka sedikit, ada pula yang mengata.
“Jadi saya menjalani kehidupan seperti biasa sahajalah. Alhamdulillah, dia pun sangat memberi sokongan karier saya dalam industri seni,” ujarnya yang terlibat dalam filem arahan Ahmad Idham itu
Sebelum ini, Eyka dilihat menutup status perhubungan dengan kekasih hati kepada umum, namun mula terbuka berkongsi kisah cinta bersama pemain bola sepak berusia 24 tahun itu sejak 2020.
Dalam perkembangan, Eyka yang kini baru selesai menjalani penggambaran filem Anak Perjanjian Syaitan 2 arahan Ahmad Idham. Selain Eyka, naskhah berkenaan turut dibintangi Alif Satar, Fasha Sandha dan Azizah Mahzan. -HIBGLAM