Hun Haqeem buat kerja gila demi watak

DEMI kelangsungan kerjaya yang baru dibina, Hun Haqeem kini berada dalam fasa sanggup berkorban apa sahaja bagi merealisasikan watak yang dipegang.

Pernah digilai sebagai jejaka bertubuh kekar dalam naskhah Kampung People, kini fizikal Hun berubah 180 darjah.

Percaya atau tidak, semuanya seperti mustahil dilakukan apabila anak kelahiran Kuching, Sarawak itu hilang berat badan sebanyak 12 kilogram (kg) hanya dalam tempoh sebulan.

Kedengaran seperti kerja gila tetapi itu bukti dedikasi pemilik nama penuh Haqeem Hermy demi persembahan dalam naskhah terbitan Viu Original, W:Two Worlds.

Penglibatan dalam sebuah karya besar sebegitu cukup untuk Hun mengenepikan segala. Dia tidak perlu ‘berkira’ melakukan apa sahaja demi watak lakonan sebagai Alif Hadi.

Menerusi drama ini, saya memang nak buktikan banyak benda termasuk hilang berat badan sebanyak 12kg dalam tempoh sebulan sahaja. Daripada 80kg menjadi 68kg.

“Dengar seperti mustahil. Memang gila tetapi inilah kelainan yang saya cuba bawa untuk drama hebat ini,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Teruja berkongsi perjalanan rutin dietnya, Hun hanya mengambil satu hidangan sehari bagi merealisasikan misi tersebut.

Bagi mencapai matlamat, saya hanya makan sekali sehari. Terus-terang saya cakap, tindakan ini bukan perkara yang sihat tetapi saya perlu merealisasikannya dalam tempoh yang singkat,” jelasnya.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari www.kosmo.com.my

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok