Dakwa disihir sejak suaminya, Allahyarham Abam Bocey meninggal dunia, Siti Norhidayah Mohd. Ali mencari pengamal perubatan Islam untuk merawatnya.
Balu kepada pelawak popular itu mendedahkan, anak tunggal mereka, Syed Uthman Hamzah Al Juffrey yang baru berusia empat tahun turut terkena gangguan mistik.
“Saya minta pertolongan kepada sesiapa sahaja pakar perubatan Islam, ustaz atau ustazah yang mempunyai kepandaian merawat sihir serta boleh mengubati saya dan Hamzah yang disihir dan mengalami gangguan mistik sejak arwah suami meninggal dunia.
“Mohon kepada sesiapa dapat membantu saya dan Hamzah, bolehlah menghubungi abang saya, Azmier. Assalamualaikum,” katanya menerusi hantaran video dalam Instagram.
Siti Norhidayah berkata, gangguan dihadapi mereka bermula sejak pemergian Allahyarham suaminya sekitar tiga tahun lalu yang berlanjutan sehingga ke hari ini.
Menerusi ruangan komen ramai pengikut laman sosial meninggalkan maklumat berhubung ustaz serta ustazah yang dirasakan mampu menyelesaikan masalah dihadapi ibu tunggal itu.
Malah tidak kurang yang mendoakan kesejahteraan Hidayah dan puteranya selain berharap wanita berusia 32 tahun itu terus tabah berdepan dugaan.
Pada masa sama ada dalam kalangan netizen meninggalkan nasihat supaya Hidaya berikhtiar secara senyap bagi mengelakkan situasi memburuk.
“Apabila berubat secara Islam perlu dirahsiakan. Perlu buat diam-diam, ada sebabnya,” kongsi seorang pengikut.
“Semoga Dayah dan Hamzah diberikan kesembuhan dan dipermudahkan rawatan,” kata seorang netizen lain.
Abam dan Hidayah mendirikan rumah tangga pada 2017 dan dikurniakan seorang cahayamata lelaki.
Pemilik nama penuh Syed Umar Mukhtar Syed Mohd Redzuan itu menghembuskan nafas terakhir pada 10 Februari 2020 akibat demam panas pada usia 32 tahun.
Sejak kematian Abam, Norhidayah berdepan pelbagai konflik berhubung harta dengan keluarga pelawak itu, terutama Ali Puteh sehingga berlanjutan ke mahkamah.