SELEPAS empat bulan mendirikan rumah tangga, pelawak dan penyampai radio, Shuib dan juga isterinya, Watie tidak merancang untuk menimang cahaya mata baharu.
Kata Watie atau nama sebenarnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 35, walaupun anak-anak tirinya sudah meminta diberikan adik baharu, dia bimbang jika timbul rasa cemburu dalam hati mereka sekiranya dia memiliki anak sendiri suatu hari nanti.
“Kalau tanya tentang anak sendiri, jawapan saya adalah mahu jaga anak-anak sekarang (anak tiri). Kami tidak pernah berbincang mengenai perkara ini.
“Talita pernah minta nak adik baharu. Tapi, apabila saya bersama yang bongsu (Ayash) pun mereka cemburu. Macam mana agaknya kalau saya ada anak sendiri?” katanya kepada HibGlam.
Watie yang ditemui di majlis sidang media dan sesi rakaman program Dapur Tempur Selebriti baru-baru ini mengakui berasa bimbang memikirkan perasaan empat anak tirinya sekiranya dikatakan melebih-lebihkan adik mereka jika dikurniakan cahaya mata lagi.
“Apabila mereka (anak-anak tiri) minta adik, saya bimbang nanti mereka fikir saya melebih-lebihkan anak sendiri. Jadi, takut nak bagi mereka adik,” ujar Watie.
Sementara itu, Shuib yang asyik tersenyum di samping isterinya berkata, setiap hari anak-anaknya meminta untuk diberikan adik baharu, namun buat masa ini dia dan isteri belum merancang ke arah itu.
“Hari-hari mereka ‘order’ adik tapi mereka tidur sekatil bersama. Jadi macam mana? Sejujurnya, kami tidak merancang dan tidak pernah berbincang untuk tambah bilangan anak.
“Kami mahu fokus empat orang ini dahulu. Lagi pun Uwais (anak sulung) sudah pun berusia 12 tahun.
“Bila dah masuk usia 12 tahun, saya kena betul-betul fokus kepada dia. Saya pula sudah ada perancangan untuk jadikan Uwais pemain golf profesional.
“Lebih baik kami fokus dahulu dengan anak-anak yang ada sekarang sehingga mereka lebih matang. Kalau ada rezeki untuk timang cahaya mata lagi, Insya-Allah,” kata Shuib.
Terdahulu, Shuib atau nama lengkapnya Shahmira Muhamad, 38, menamatkan zaman duda apabila bernikah dengan Watie, dengan sekali lafaz pada Jun lalu.
Sebelum itu, Shuib pernah berkahwin dengan penyanyi terkenal, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin pada 2011 dan dikurniakan empat orang cahaya matai aitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra (10), Ariq Marin (6) dan Ayash Affan yang kini berusia 2 tahun.
Siti Sarah meninggal dunia pada tanggal 21 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19. – HIBGLAM