Elly Mazlein bukan lagi pengacara GV10

TIADA angin tiada ribut, pengacara sensasi Elly Mazlein mengejutkan peminatnya apabila tidak lagi bergelar pengacara tetap All Stars Gegar Vaganza (GV10).

Perkhabaran itu diumumkan stesen televisyen Astro dalam satu kenyataan hari ini dengan memaklumkan Elly tidak lagi bersama keluarga besar GV10 berikutan hal peribadi.

“Dengan rasa berat hati Astro ingin mengumumkan pengunduran Kak Lina (Elly Mazlein) dari program All Stars Gegar Vaganza atas hal-hal peribadi. Walaupun berasa sedih, pihak Astro menghormati keputusan yang diambil.

“Pihak Astro ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kak Lina atas kesungguhan dan komitmen yang diberikan sepanjang siaran All Stars Gegar Vaganza.

“Pastinya para peminat Kak Lina masih berkesempatan untuk menonton personaliti yang disayangi ramai menerusi program-program Astro yang akan datang,” kata Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad.

Dalam kenyataan sama, Elly atau mesra disapa Kak Lina Pom Pom turut menzahirkan permohonan maaf kerana tidak dapat meneruskan tugas mengacara GV10 di samping Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong saya sepanjang siaran All Stars Gegar Vaganza. Sesungguhnya saya amat menghargainya.

“Insya-Allah, kita doakan GV10 terus berjaya dan saya berharap agar pemina kekal menyokong semua bintang Gegar Vaganza yang bertanding,” kata Kak Lina.

Sementara itu, hasil tinjauan HibGlam dalam Instagram milik pengacara itu mendapati, Elly ada berkongsi hantaran pendek perkataan ‘maaf’, tanpa kapsyen terperinci.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by ?SaraAzlan? (@iamellymazlein)

Dalam ruangan komen, rata-rata pengikutnya berasa sedih, malah tidak mahu Elly meninggalkan pentas GV10 sebagai pengacara kerana dia sangat menghiburkan.

“Kak Kepom (panggilan Kak Lina Pom Pom), saya tengok GV sebab akak tau!” ujar seorang peminatnya.

“Tolonglah kekal. Nanti ibu saya susah hati. Saya suka tengok ibu saya gembira bila tonton Kak Lina dalam GV,” luah seorang lagi peminatnya.

“Maaf kalau Kak Kepom tak ada, saya tak mahu tengok GV!” ugut seorang netizen.

Sebelum ini, Elly atau nama lengkapnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 42, dikecam kerana gaya pengacaraannya dikatakan ‘hyper’, ‘over’ (melebih-lebih) dan gedik.

Selain itu, dia juga dikatakan mencuri terlalu banyak perhatian ramai sehingga menenggelamkan barisan peserta yang bertanding.

Rentetan maklum balas negatif itu, Elly tampil membuat permohonan maaf dan berjanji akan menjadi Elly Mazlein pada konsert minggu kedua.

Mengotakan kata-katanya, Elly tampil dengan karakter berbeza yang lebih sopan tanpa ‘tergedik-gedik’ seperti kelazimannya pada konsert minggu kedua dengan menggunakan nama Elly M, sebelum kembali dengan sikap asalnya ketika acara hampir melabuhkan tirai.

Ibu kepada dua cahaya mata itu mengakui penat membawakan karakter Kak Lina Pom Pom yang jauh berbeza daripada keperibadian sebenarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok