[VIDEO] Selepas peneram, Zara Zya borong gula kapas pula

TANPA mengira bangsa dan agama, pelakon, Zara Zya sekali lagi berkongsi rezeki apabila memborong kesemua gula-gula kapas yang dijual seorang peniaga tepi jalan berbangsa India.

Sama seperti niatnya sebelum ini, Zara atau nama lengkapnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 38, rasa terpanggil untuk memborong  jualan wanita berbangsa India itu kerana mahu membantu perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan.

Menerusi hantaran video yang dikongsikan Zara dalam Instagram miliknya, pelakon itu dilihat singgah menyapa seorang penjual gula-gula kapas di kaki lima yang terletak di hadapan sebuah bank.

“Tadi masa jalan-jalan saya nampak adik India ini jual gula-gula kapas. Teruja pula tengok bila nampak makanan kegemaran saya ketika kecil.

“Kebetulan adik ini berniaga sebab nak bantu ibunya cari duit lebih,” ujar Zara yang sebelum ini menuai pujian ramai apabila memborong kuih peneram seorang peniaga kecil.

Tambah pelakon drama Risik Pada Hati itu lagi, atas niat ingin membantu wanita tersebut, dia telah memborong kesemua jualan wanita tersebut untuk disedekahkan kepada orang ramai yang lalu di kaki lima itu.

“Terdetik untuk bantu adik ini dengan habiskan jualannya pada hari itu. Jadi, saya minta dia bungkus semua gula-gula kapas yang ada untuk diberikan kepada orang lain yang lalu di tempat itu,” jelasnya.

Niat murni Zara yang sering membantu peniaga-peniaga kecil turut membuatkan pengikutnya dalam Instagram ikut sama gembira dan mendoakan agar dia sentiasa dimurahkan rezeki.

“Untuk Zara, semoga sentiasa dimurahkan rezeki,” ujar seorang pengikutnya.

“Moga selalu dimewahkan dengan rezeki,” kata seorang netizen.

“Terima kasih Zara. Insan yang baik hati,” puji seorang lagi netizen.

Zara sebelum ini pernah beberapa kali membantu peniaga kecil di pinggir jalan dengan memborong dagangan mereka dengan niat untuk bersedekah dan membantu.

Kata Zara, selain ingin membantu daripada segi wang ringgit, tindakannya itu juga membolehkan peniaga kecil pulang awal pada hari tersebut. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by ZaraPrihatin (@zarazya)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok