Tubuh berotot, seksi Khai Bahar jadi bahan ‘darkside’

PERUBAHAN ketara fizikal Khai Bahar, 29, yang kian kekar dan lebih berotot mengundang perhatian ramai pemuja setia yang menggilainya.

Menurut pemilik nama penuh Muhammad Khairul Baharuddin itu perubahan itu bersebab. Bukan kerana mahu tampil lebih yakin semata-mata, sebaliknya dia pernah diselubungi rasa bimbang apabila terlalu kurus selepas aktif berjoging sehingga disangka sakit.

“Sebelum ini memang saya suka berjoging. Tetapi apabila berat badan turun dengan mendadak, orang ingat saya sakit.

“Saya sendiri risau sehingga fikir yang bukan-bukan. Namun, sejak lapan bulan lalu saya mula aktif ke gimnasium untuk membina otot dan menambah berat badan,” ujarnya.

Gara-gara memiliki bentuk tubuh yang dikira ‘seksi’, tanpa sedar ada pihak tidak bertanggungjawab telah menggunakan gambarnya dalam sebuah akaun Twitter ‘darkside’ yang menghimpunkan gambar dan video lelaki separuh bogel.

Enggan berdiam diri, Khai berkata dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang telah menyalahgunakan gambarnya bagi tujuan aktiviti tidak bermoral.

“Kalau ada yang keterlaluan, saya akan ambil tindakan tetapi setakat ini saya tidak tahu ada yang buat begitu,” kata pelantun lagu Bayang itu.

Dalam pada itu, Khai juga enggan terlalu ambil pusing komen-komen nakal peminat terhadapnya kerana menganggap mereka sekadar bergurau.

“Tentang usikan nakal, saya ambil yang positif sahaja. Anggap mereka sekadar bergurau, tak ada niat lain pun.

“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak ada menerima komen yang aneh-aneh daripada peminat.

“Malah, ramai yang teruja dan terkejut dengan perubahan bentuk fizikal saya,” katanya yang baru sahaja melancarkan single duet bersama penyanyi, Adira Suhaimi berjudul Pejam.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok