‘Pernah dikhianati, ‘dia’ buat saya jadi lebih kuat’

“TIDAK perlu didedahkan, pengalaman mengajar saya jadi kuat.”

Demikian perkongsian penyanyi Ernie Zakri yang mengakui karya terbaharunya, Sejambak Bunga diinspirasikan daripada pengalaman dikhianati seseorang.

Tidak mahu mendedahkan identiti individu terbabit, Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 34, menganggap setiap fasa suka duka yang dilalui sebagai satu proses pembelajaran berharga sepanjang bergelar anak seni.

“Setiap perjalanan kehidupan, terutamanya sebagai seorang penyanyi, saya berjumpa dengan ramai orang termasuk mereka yang pernah saya percayai.

Saya belajar menjadi Ernie Zakri sekarang daripada orang yang pernah saya temui dan bekerja bersama.

“Tidak perlulah saya dedahkan sama ada orang itu rapat atau tidak dengan saya, tetapi pengalaman itu mengajar saya untuk terus hidup dengan lebih kuat,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui di tayangan drama Cela di TGV KLCC, semalam.

Sebagai penyanyi, pelantun lagu Masing Masing itu mengakui mempunyai kelebihan untuk meluahkan segala isi hati menerusi muzik.

“Saya beruntung menjadi penyanyi kerana kita boleh berkongsi hal peribadi secara telus. Maksudnya, kalau jatuh cinta, putus cinta dan sebagainya, kita boleh ceritakan melalui lagu.

Sama juga dengan lagu-lagu saya yang lain. Sebenarnya, semuanya berkaitan perkara peribadi yang pernah saya lalui dalam kehidupan.

“Jadi, apabila menyebut soal pengkhianatan, tentulah kita pernah melalui pelbagai fasa, terutamanya dalam kerjaya.

“Kita berjumpa dengan orang yang salah dan orang yang tepat. Pada saya, saya suka menceritakan kisah sendiri menerusi lagu,” katanya lagi.

Sebelum ini, Ernie melancarkan lagu Sejambak Bunga hasil ciptaan komposer dan penyanyi, Hael Husaini.

Lagu tersebut dipilih sebagai runut bunyi drama terbaharu Viu, Cela yang bakal ditayangkan pada malam ini. –

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok