Rezeki besar K.O.I, tidak berhenti selepas AJL40

SUDAH empat dekad Anugerah Juara Lagu (AJL) berdiri sebagai mercu tanda industri muzik tanah air, meraikan komposer, penulis lirik dan penyanyi menerusi karya paling mencuri perhatian sepanjang tahun.

Namun, kemenangan K.O.I dengan lagu Tiwikarma pada Sabtu lalu membawa warna tersendiri. Pertama kali beraksi, kumpulan lima anggota itu terus berjaya menjulang trofi Juara Lagu pada edisi AJL40.

Tiwikarma lahir daripada sentuhan komposer Zai Hamzah dan Hemo Globin, manakala liriknya digarap Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana dan Sapik Sam.

Kemenangan tersebut sekali gus menepis tanggapan bahawa karya rap atau hip-hop sekadar menjadi penghias pentas anugerah.

Selepas kejayaan Joe Flizzow menerusi lagu Gila nyanyian K-Clique, Noki, Loca B dan Kaka Azraff, K.O.I membuktikan genre berkenaan masih punya taring untuk berdiri megah di singgahsana AJL.

Dalam saingan sengit, Tiwikarma mengetepikan pencabar terdekat, Tak Adil nyanyian Aisha Retno, karya hasil gandingan Aisha bersama Radi sekali gus melakar bab baharu dalam perjalanan muzik mereka.

PERSEMBAHAN K.O.I menerusi lagu Tiwikarma yang mengangkat mesej kemanusian berjaya mencuri hati barisan juri dan penonton.

Menurut komposer Hemo Globin, K.O.I memilih untuk tidak terlalu dibelenggu persoalan penerimaan khalayak kerana tekanan mengejar selera orang lain hanya boleh mematikan keberanian dalam berkarya.

“Kami cuba untuk tidak memikirkan sama ada orang akan menerima lagu kami atau tidak kerana perkara itu mungkin menyukarkan kami menghasilkan karya seterusnya.

Apa kami lakukan adalah memberikan segala terbaik. Kami menghasilkan karya berdasarkan perkara yang kami sendiri suka kerana inilah minat dan semangat kami.

“Kami akan teruskan perjuangan itu,” katanya kepada HibGlam.

Tuan Nicky pula mendedahkan lirik Tiwikarma terhasil dalam keadaan cukup spontan apabila dia menyiapkannya dalam tempoh kira-kira 30 minit ketika menghadiri majlis perkahwinan seorang teman.

“Lagu ini kami hasilkan tanpa perancangan dan agak tergesa-gesa. Liriknya siap dalam masa kira-kira 30 minit.

Saya rasa semua orang tahu pendirian saya mengenai isu Palestin. Jadi, saya tulis lirik itu secara tidak langsung, seolah-olah ada kod tersembunyi. Cara itu mempercepatkan proses penulisan saya.

“Kepada mereka yang berjaya memahami maksud tersirat dalam lirik itu, tahniah. Saya sendiri terkejut apabila ada orang sanggup mengorek, membedah dan meneliti lirik kami,” ujarnya.

RYENALD Guntabid menyifatkan kemenangan tempat ketiga sebagai batu loncatan melonjakkan karier ke tahap lebih tinggi.

Sementara itu, Khaza Raflex menganggap kemenangan tersebut sebagai rezeki besar buat K.O.I, selain memberi bayangan kumpulan berkenaan tidak akan berhenti selepas menggapai puncak AJL.

“Rezeki berpihak kepada Tiwikarma, alhamdulillah. Untuk karya seterusnya, sudah tentu kami akan keluarkan lagu lain daripada simpanan. Ada juga beberapa karya masih dalam proses.

Selepas ini, insya-Allah K.O.I akan mengeluarkan lagu baharu. Kalau ada rezeki, kami mahu menghasilkan album pula,” katanya.

Bukan kosong tangan, K.O.I kini mempunyai sekitar lima hingga enam lagu dalam simpanan untuk dipersembahkan kepada pendengar.

Ketua Juri AJL40, Datuk Hashridz Murshim Hassim atau Acis berkata, keputusan memilih kumpulan berkenaan dibuat secara kolektif selepas panel juri menilai setiap karya dari pelbagai sudut, termasuk kekuatan melodi, lirik, konsep persembahan serta kesan ditinggalkan kepada penonton.

Menurutnya, K.O.I berjaya menampilkan kelainan menerusi Tiwikarma, sekali gus memenuhi kriteria utama dicari barisan juri pada edisi kali ini.

Aina wakil Malaysia

Turut mencuri perhatian adalah Aina Abdul yang membawa pulang trofi Persembahan Terbaik menerusi lagu Kamu selepas mempertaruhkan konsep gunung berapi penuh dramatik, selain turut menerima Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee, lengkap dengan trofi eksklusif, wang tunai RM50,000 serta kontrak sebagai Duta Kempen Shopee.

Namun, hadiah paling besar malam tersebut barangkali hadir dalam bentuk sebuah amanah. Aina diumumkan sebagai wakil sulung Malaysia ke Eurovision Song Contest Asia 2026, sekali gus membuka tirai sejarah baharu buat negara dalam edisi pertama pertandingan berprestij berkenaan.

MEMBAWA konsep gunung berapi, Aina Abdul berjaya mencuri perhatian apabila diundi sebagai pemenang trofi Persembahan Terbaik AJL40.

Pertandingan berkenaan dijadual berlangsung di Bangkok, Thailand pada 14 November ini dengan penyertaan membabitkan negara seperti Thailand, Korea Selatan, Filipina, Vietnam, Kemboja, Laos, Bangladesh, Nepal dan Bhutan.

Bagi Aina, pengumuman itu adalah sebuah kemenangan, malah terasa seperti jawapan kepada doa serta penantian panjangnya untuk mengangkat nama Malaysia ke pentas lebih luas.

“Saya sangat terharu dan bersyukur. Saya rasa segala kerja keras saya bersama pasukan akhirnya berbaloi. Orang mungkin anggap ayat ini klise, tetapi tanpa peminat, saya tidak mungkin berada di sini dan tidak akan mampu bermimpi untuk memegang semua penghargaan ini.

Saya juga rasa sudah lama tidak setenang ini selepas AJL. Biasanya selepas AJL, saya meletakkan harapan sangat tinggi terhadap diri sendiri. Apabila tidak memperoleh apa diharapkan, saya boleh menjadi murung.

“Tahun ini, tentu sekali saya masih menetapkan piawaian tertentu buat diri sendiri, tetapi di sebalik semua itu, saya rasa lebih tenang dan gembira dapat menikmati malam ini,” luahnya.

Mengakui teruja menerima amanah berkenaan, Aina tidak menafikan tanggungjawab tersebut turut menyuntik debaran lebih hebat berbanding AJL.

“Sejujurnya, kami sendiri tidak tahu siapa bakal mewakili Malaysia ke Eurovision Asia. Kami diberitahu perkara itu masih rahsia dan tidak tahu sama ada benar-benar akan menjadi kenyataan.

Sudah tentu saya gembira, tetapi pada masa sama, perkara ini sebenarnya lebih membuatkan saya tertekan berbanding AJL.

“Saya berharap dapat memberikan persembahan terbaik kerana selama ini orang selalu bercakap tentang usaha menaikkan nama Malaysia,” ungkapnya.

Vokal empat penjuru

Paling mendebarkan pastinya pertembungan empat penjuru vokal ‘power’ untuk merebut trofi Vokal Terbaik iaitu Marsha, Aina Abdul, Amir Masdi dan Ryenald Guntabid.

Namun, bukan soal kehebatan vokal menjadi taruhan, sebaliknya ‘rasa’ serta jiwa dalam setiap bait nyanyian akhirnya mengangkat Marsha Milan sebagai pemilik trofi Vokal Terbaik.

PERNAH merangkul trofi Juara Lagu pada AJL39 menerusi Hening Rindu, kali ini Marsha buat pertama kali menang Vokal Terbaik dengan lagu Tangisan Seorang Pendosa.

Kemenangan hadir dalam detik penuh debar buat penyanyi berusia 40 tahun tersebut, apatah lagi kondisi kesihatan kurang mengizinkan beberapa minggu sebelum tirai AJL40 dibuka.

“Alhamdulillah, saya betul-betul tidak sangka boleh menang Vokal Terbaik dalam situasi kesihatan sebegini.

“Seperti pernah saya katakan kepada media sebelum ini, memang saya langsung tidak menjangkakan kemenangan ini. Namun, saya sangat bersyukur dan berbesar hati menerima anugerah ini kerana ini merupakan trofi pertama saya bagi kategori Vokal Terbaik,” tambahnya.

Biar sudah lama berakar dalam industri muzik, pengiktirafan itu seakan menjadi jawapan terhadap perjalanan panjangnya mencari ruang untuk membuktikan kekuatan vokal.

“Kalau diberikan kesihatan sempurna sekalipun, belum tentu saya boleh menang. Apatah lagi dengan keadaan sekarang, memang langsung tidak terfikir saya akan membawa pulang trofi.

Jadi, apabila nama saya sebagai pemenang, saya sangat-sangat bersyukur kerana akhirnya terasa ada pihak nampak potensi vokal saya.

“Saya harap kemenangan ini menjadi pembakar semangat untuk terus memperbaiki vokal, selain mencari lebih banyak karya supaya dapat terus berkarya dan memberikan sesuatu lebih baik kepada pendengar,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok