MENEBUS kekalahan di pentas Talk To My Manager 2 (TTMM2), penyanyi Hussain diangkat sebagai juara Big Stage Rocketfuel pada konsert akhir di sini, malam tadi.
Menurut Hussain atau nama penuhnya, Jamak Hussain Jamilul Hayat, 23, kejayaannya hari ini merupakan hasil sokongan daripada semua pihak termasuk keluarga dan peminatnya sejak bertanding di TTMM2.
“Terima kasih kepada peminat sejak TTMM2 undi saya sehingga sekarang.
Terima kasih juga kepada keluarga. Abah, saya berjaya. Semua ini atas sokongan semua, terima kasih juri beri tunjuk ajar kepada saya.
“Terima kasih Allah, Alhamdulillah,” katanya yang meraih markah keseluruhan tertinggi daripada juri tetap dan undian online.
Kemenangan tersebut sekali gus melayakkan anak kepada penyanyi veteran, Jamilul Hayat itu menerima kontrak Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM100,000, wang tunai RM30,000, sebuah single dan trofi sumbangan Astro.
Pada konsert akhir yang berlangsung di Dewan Auditorium MBSA, Hussain mendendangkan lagu Seniman Menangis dendangan asal bapa saudaranya yang juga penyanyi Datuk Jamal Abdillah.
Tempat kedua pula menjadi milik Adam Nazmi yang menerima hadiah berupa kontrak Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM50,000, wang tunai RM20,000, sebuah single serta trofi sumbangan Astro.
Sementara Ranisha pula berada di kedudukan ketiga dan membawa pulang wang tunai RM10,000, kontrak Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM50,000, sebuah single dan trofi sumbangan Astro.
Tempat keempat pula milik Danny dan Yad-Z di kedudukan kelima, masing-masing membawa pulang RM5,000 bersama trofi.
Danial Kifli pula berada di tempat keenam dengan menerima RM 3,000 dan trofi.
Hari ini, bukan sahaja persembahan solo, setiap peserta turut bertarung menerusi segmen battle secara individu bagi merebut gelaran juara.
Big Stage Rocketfuel dihoskan Nabil Ahmad dan Azeva sementara barisan juri pula terdiri daripada Hael Husaini, Aisha Retno dan Akim Ahmad.
Maestro terkenal, Datuk Ramli MS pula menjadi juri jemputan pada konsert final malam tadi. – HIBGLAM
