‘Hutang lama pun belum selesai, selepas itu mahu pinjam lagi’

SEPERTI  sudah hilang rasa malu, pelakon Adam Lee naik berang apabila ada individu masih tergamak meminjam wang daripadanya sedangkan hutang terdahulu belum dilangsaikan.

Adam atau nama sebenarnya Muhamad Arif Adam Mohamed Fadlee, 32, menyifatkan sikap mengambil mudah soal hutang sebagai sesuatu tidak wajar, apatah lagi apabila individu terbabit masih berani membuat permintaan baharu tanpa menyelesaikan bayaran terdahulu.

“Kau pinjam, kau bayar. Mudah sahaja, bukan? Hutang lama pun belum selesai, selepas itu mahu pinjam lagi?

“Menebalkan muka dan berpura-pura seolah-olah tiada apa-apa berlaku bukanlah jalan penyelesaian. Masalah tidak akan selesai kalau terus buat begitu.

“Mungkin ada yang menganggap pelakon ini banyak duit, sebab itu terus hilang pertimbangan dan rasa hormat. Ingatlah, orang lain pun ada masalah masing-masing,” luahnya dalam Threads.

Rata-rata netizen turut menyokong pendirian pelakon filem Babah itu, malah ada berkongsi pengalaman pernah berdepan situasi hampir sama apabila individu berhutang masih berani meminta pinjaman baharu.

“Kalau belum mampu bayar hutang lama, jangan tambah hutang baharu. Sekurang-kurangnya jaga kepercayaan orang.

“Pinjam duit bukan masalah, tetapi jangan buat orang pula rasa bersalah apabila meminta semula hak sendiri.

“Bila sudah berjanji mahu bayar, tunaikan. Jangan sampai hubungan rosak hanya kerana tidak bertanggungjawab,” antara komen netizen.

Bagaimanapun, ada juga pengguna media sosial berpandangan isu kewangan perlu diselesaikan secara tertutup dan tidak wajar diperbesarkan sehingga mengheret pihak lain. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok