‘Sudahlah salah orang, netizen serang bentuk fizikal saya pula’

“Sudahlah salah orang, tiba-tiba netizen ‘serang’ bentuk fizikal saya pula.”

Demikian luahan rasa terkilan rasa terkilan selebriti versatil, Sherry Alhadad apabila bentuk badannya menjadi menjadi bahan kecaman netizen susulan isu berkaitan anjing Rocky baru-baru ini.

Menurut Sherry atau Sharifah Mariam Syed Abdullah Al-Hadad, 41, perkara tersebut tercetus apabila ramai menyangka dirinya Sherry Ibrahim susulan memiliki nama yang sama.

“Pada awalnya, saya memang tidak mengendahkan perkara tersebut tetapi lama-kelamaan mereka lemparkan komen negatif mengenai fizikal saya,

Memang beremosilah sedangkan saya hanya duduk di rumah main ‘squishy’ saja,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.

Katanya, serangan terhadap bentuk fizikalnya tidak sepatutnya berlaku dan dia seboleh-bolehnya enggan terjebak dengan sebarang pertelingkahan yang boleh memusnahkan kerjaya seninya.

“Saya masuk dalam industri ini bukan dengan pakej yang lengkap.

Jadi untuk buat orang percaya dengan bakat saya itu ambil masa yang lama. Kalau boleh tak mahulah semuanya berubah hanya disebabkan isu satu malam sahaja,” katanya lagi.

Dalam pada itu, dia berkata, tindakan bersuara menjelaskan dirinya bukan individu terbabit bukan kerana mahu menunggang isu yang sedang panas diperkatakan sebaliknya ingin membetulkan semula salah faham ramai.

“Niat saya tulis begitu bukan mahu mengeruhkan lagi keadaan atau mahu tunjuk siapa salah, siapa betul sebaliknya mahu meleraikan salah faham.

“Situasi tersebut ibarat diserang hendap. Lainlah kalau perkara tersebut, memang lainlah situasinya.

“Namun, pendapat orang berbeza-beza cuma saya agak terkejutlah apabila diserang sebegitu,” ujarnya.

Terdahulu, nama Sherry dipetik netizen hanya gara-gara keliru dengan Sherry Ibrahim yang lantang bersuara mengenai isu berkaitan kematian seekor anjing Rocky dalam sebuah operasi di Pelabuhan Klang baru-baru ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok