DIKECAM penampilan terlalu seksi semasa muncul di pentas Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW), penyanyi Aisha Retno memilih untuk menerima setiap teguran dan pandangan secara positif.
Aisha atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulizan, 26, yang bakal membintangi pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) juga terbuka untuk memperbaiki segala kekhilafan yang berlaku.
“Sejak mula saya menyertai uji bakat teater muzikal ini pun, saya sudah bertanya tentang pemakaian PGLM ini.
Kita mengikut cabang seni daripada perspektif teater muzikal, namun sudah tentu apa yang diperkatakan netizen kita ambil yang baik.
“Kami hormat pendapat masing-masing dan insya-Allah kalau ada penambahbaikan kita akan lakukan daripada semasa ke semasa,” katanya kepada HibGlam selepas program Big Stage X Rocketfuel, semalam.
Dalam pada itu, pelantun lagu Tak Adil itu menganggap pemerhatian daripada masyarakat merupakan sebahagian daripada risiko yang perlu ditanggung penggiat seni.
“Bagi saya semua orang berhak berkongsi pendapat masing-masing, lebih-lebih lagi apabila berada dalam industri seni ini, kita perlu terima setiap pendapat yang diberikan.
Daripada segi fesyen, macam mana kita bawa diri, cara bercakap semuanya diperhatikan. Itu adalah salah satu risiko apabila kita ingin menjadi seorang artis.
“Saya ambil yang baik saja, buang yang keruh. Mungkin platform ini boleh buka sedikit dimensi untuk teater muzikal, saya boleh katakan ini adalah sebahagian daripada seni,” jelasnya.
Ditanya mengenai pemakaian yang bakal digunakannya sepanjang pementasan teater kelak, Aisha mengakui masih belum dapat mengulas lanjut memandangkan dunia teater merupakan satu bidang baharu buat dirinya.
“Daripada segi pemakaian pada pementasan itu nanti, saya tidak pasti. Dunia dimensi teater muzikal ini adalah sesuatu yang baharu bagi saya.
Saya tidak boleh komen banyak, sama ada untuk memakai pakaian yang bagaimana.
“Cuma saya sangat teruja tak sabar nak tunggu peminat membeli tiket teater itu nanti, terima kasih kerana menumpukan perhatian kepada segala maklumat terkini untuk teater PGLM ini,” katanya.
Sebelum ini, Aisha tampil bersama penerbit teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGLM), Puan Seri Tiara Jacquelina dan anaknya, Mila Mohsin dengan memperagakan busana asli daripada produksi teater muzikal berkenaan.
Namun, ramai yang tidak berpuas hati dengan penampilan mereka bertiga kerana dianggap terlalu seksi sehingga menampakkan bahagian tubuh. – HIBGLAM
