TIDAK percaya istilah ‘badi anugerah’, aktres Sweet Qismina bersyukur dengan pelbagai tawaran yang diajukan selepas meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34), tahun lalu.
Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi, 29, berkata, perkara berkaitan kononnya ada dalam kalangan penerima anugerah berdepan kesukaran selepas membawa pulang trodfi hanya sebagai tanggapan rambang.
“Alhamdulillah, selepas hampir setahun bakat saya diiktiraf di FFM34 tawaran tetap datang sama ada menerusi lakonan mahupun projek lain.
“Memang ada terdengar pasal ‘badi anugerah’ iaitu tanggapan berkenaan penerima trofi yang didakwa tidak mendapat tawaran berlakon selepas menang.
“Apa pun semuanya berbalik kepada rezeki. Kena terus jalan, jangan ‘overthinking’. Insya-Allah dipermudahkan,” katanya ketika ditemui selepas pertunjukan fesyen KLFW X Tomei Collection sempena Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026.
Bagi pelakon filem Babah itu, hal lebih dibimbangkan selepas meraih trofi terbaik adalah berhubung kepercayaan penerbit dan pengarah terhadap kemampuan lakonannya.
“Sejujurnya saya bukan takut tidak dapat tawaran berlakon, tetapi risau kalau orang tidak yakin terhadap kemampuan saya selepas mendapat anugerah itu.
“Contohnya, saya takut penerbit, pengarah serta penonton kurang percaya atau mungkin meletakkan harapan terlalu tinggi, ‘awak mesti boleh buat lebih daripada itu’.
“Jadi, secara tidak langsung perkara sedemikian memberikan satu tekanan kepada diri kita. Saya tak mahu begitu,” katanya.
Begitupun, katanya, tekanan menjadi lebih ringan apabila setiap tawaran diajukan disertai kata-kata positif daripada pihak produksi yang percaya terhadap kebolehannya.
“Apabila semua cakap saya boleh buat iaitu yakinkan saya mampu galas sesuatu karakter, kata-kata itu boleh buat kita rasa okey dan nak bekerja lebih keras,” katanya.
Bahkan, isteri kepada pelakon Adam Lee itu juga bersyukur kepercayaan yang diberikan produksi selepas kemenangannya menjadi motivasi untuk mempertajamkan lagi skil lakonan.
Akuinya, trofi Pelakon Wanita Terbaik yang disandang turut membuatkan penonton serta penggiat industri semakin membuka mata terhadap bakatnya.
“Dahulu mungkin orang rasa macam, ‘kau boleh tak bawa watak ini?’ Tetapi sekarang mereka cakap saya mesti mampu galas watak yang ditawarkan.
“Sekarang pun gelaran ini menjadi tanggungjawab besar kerana apa sahaja tawaran dan karakter yang diberi, saya cuba buat lebih baik. Ini juga suntik semangat positif,” katanya. – HIBGLAM
