‘Penat saya menangis dua hari dua malam cari inspirasi… ‘

BERSENGKANG mata selain mengorbankan banyak tenaga dan emosi demi menghasilkan karya terbaik, penyanyi Aisha Retno menempelak dakwaan segelintir netizen kononnya lagu Tak Adil nyanyiannya dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Ujar Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 26, tuduhan tersebut cukup mengecewakan memandangkan lagu berkenaan lahir daripada pengalaman patah hati serta usaha keras bersama adiknya, Radi.

“Penat-penat saya menangis dua hari dua malam, dua jam dua saat demi mendapatkan inspirasi menulis lagu daripada kisah patah hati sendiri.

Lepas itu adik pula tarik saya masuk studio. Kami sama-sama siapkan lagu ini walaupun ketika itu saya demam dan masih sempat merakam demo pada pukul 3 pagi.

“Rasa nak buat sambal bilis siapa yang cakap lagu saya dibuat menggunakan AI. Nak guna aplikasi atau perisian AI pun saya tak pandai. Tak apa, kita terus maju. Lagi lapan hari sebelum AJL (Anugerah Juara Lagu), memang saya gementar,” katanya dalam Threads. Nak guna aplikasi pun saya tak pandai,

Perkongsian tersebut dibuat selepas muncul komen seorang individu mempersoalkan ketulenan karya Tak Adil dengan mendakwa lagu berkenaan dihasilkan menggunakan AI.

Luahan Aisha pantas mengundang perhatian ramai, apatah lagi menjelang pentas berprestij Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial.

Orang penat berkarya, senang-senang pula dituduh guna AI. Teruskan berkarya Aisha, bakat tak boleh ditiru mesin.

“Semoga berjaya di AJL. Buktikan hasil kerja keras sentiasa mengatasi segala tohmahan,” antara komen netizen.

Untuk rekod, lagu bergenre pop dengan sentuhan ‘soft rock’ itu merupakan ciptaan sepenuhnya Aisha bersama adiknya, Radi dan berjaya melangkah AJL40 yang dijadual berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 15 Ogos ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok