Tiket PGLM mula jual 18 Ogos depan

DEMAM Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) mula dirasai apabila jualan tiket pementasan epik itu mendapat sambutan hangat daripada orang ramai sejurus diumumkan.

Keterujaan peminat tercetus susulan pengumuman barisan pelakon dalam program hiburan MeleTOP serta pembukaan jualan tiket, sekali gus mencetuskan perbualan hangat dalam media sosial apabila orang ramai berlumba-lumba mendapatkan tempat duduk.

Diterbitkan Enfiniti dan dipersembahkan oleh Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square sebagai produksi pembukaan utamanya, muzikal berkenaan bakal dipentaskan dari 31 Oktober hingga 15 November 2026.

Pementasan berskala besar itu mengembalikan antara karya teater paling ikonik negara kepada generasi baharu, selain mengubat kerinduan peminat yang pernah menyaksikan produksi legenda tersebut hampir dua dekad lalu.

Produksi kali ini menampilkan gandingan pelakon berpengalaman dan bakat baharu, diterajui Aisha Retno serta Mila Mohsin sebagai Puteri Gunung Ledang, manakala Aqasha menggalas watak Hang Tuah.

Turut membarisi produksi itu ialah Mimi Fly, Nadia Aqilah, Luqman Hafidz dan Yusof Hashim yang bakal menghidupkan kisah cinta, pengorbanan dan takdir yang menjadi nadi kepada karya tersebut.

Menurut pihak penganjur, sambutan diterima amat menggalakkan apabila pertanyaan membanjiri platform Threads, Instagram, TikTok serta talian tiket JCPAC sebaik sahaja jualan diumumkan.

Malah, beberapa syarikat korporat dilaporkan sudah mula membuat tempahan awal bagi persembahan berkumpulan sebelum musim pementasan kepada umum bermula.

Persiapan produksi sebenarnya telah dimulakan sejak beberapa bulan lalu, termasuk penganjuran Bengkel Imersi Budaya Jawa selama 10 hari bagi membolehkan barisan pelakon mendalami budaya, adat dan tradisi yang menjadi latar penceritaan.

Sejak tamat bengkel tersebut, pasukan kreatif dan teknikal giat menyiapkan pelbagai aspek produksi termasuk muzik, koreografi, rekaan pentas, kostum, kesan visual serta elemen teknikal bagi memastikan pementasan tampil lebih segar dan spektakular.

Latihan penuh dijadual bermula pada 17 Ogos, sekali gus menandakan fasa penting menjelang malam pembukaan.

Penerbit Eksekutif Bersama merangkap Pengarah Puteri Gunung Ledang The Musical, Tiara Jacquelina berkata, beliau terharu melihat sambutan luar biasa yang diterima daripada peminat.

“Sudah lapan tahun sejak Enfiniti kali terakhir mementaskan muzikal, OlaBola The Musical, dan saya hampir terlupa betapa mengujakan tempoh menjelang pembukaan sesebuah produksi.

“Membaca komen di Threads, Instagram dan TikTok benar-benar menyentuh hati. Telefon kami juga tidak henti menerima panggilan, selain pertanyaan daripada syarikat yang ingin menempah persembahan korporat.

“Sejak pelakon menamatkan Bengkel Imersi Budaya Jawa awal tahun ini, pasukan kreatif dan teknikal bekerja keras memperhalusi setiap aspek produksi daripada muzik, koreografi, rekaan pentas, kostum hinggalah kepada kesan khas.

“Kini, apabila latihan penuh bermula pada 17 Ogos, keajaiban sebenar akan bermula. Kami bertekad menghasilkan sebuah produksi yang akan terus terpahat dalam ingatan penonton,” katanya.

Jualan tiket kini dibuka dengan tempoh tempahan eksklusif selama 72 jam untuk pemegang kad AFFIN bermula pukul 8 malam pada 18 Ogos, sebelum jualan kepada orang ramai dibuka pada 21 Ogos

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok