Tak koyak! Dulu dikecam kini dilambung pujian

HAKIKAT bergelar selebriti bukan semata-mata menikmati sorakan dan tepukan gemuruh.

Setiap langkah diperhati, butir bicara dinilai, malah riak wajah turut menjadi bahan perdebatan dalam dunia media sosial.

Populariti juga bukan tiket kebal mengelak kritikan. Walau sesebuah drama mencatat rating tinggi atau mendominasi carta penstriman, pasti tetap ada kelompok penonton menganggap lakonan kurang menyengat, sebutan dialog tidak meyakinkan atau emosi gagal menyentuh hati.

Lebih menarik, tidak semua pelakon memilih untuk mempertahankan diri.

Ada lebih selesa menelan setiap teguran dengan hati terbuka, menjadikan kecaman sebagai cermin untuk memperbaiki kelemahan.

Bagi mereka, pujian mungkin membakar semangat, namun kritikan jauh lebih bernilai kerana membuka ruang untuk terus berkembang sebagai anak seni.

Kimchi Panas minggu ini menampilkan lima selebriti Korea Selatan yang pernah menjadi sasaran kritikan netizen, namun memilih menyambut setiap teguran secara matang demi memantapkan mutu lakonan.

Rain

Selepas lebih dua dekad bergelar pelakon, Rain akhirnya menerima cabaran besar apabila membawakan watak antagonis kejam, Im Baek-jeong dalam Bloodhounds 2 (2026).

Walaupun ramai memuji transformasi fizikal serta aura gelapnya, segelintir netizen menabur kritikan selepas menonton klip pendek dalam media sosial.

Rain menerima situasi tersebut dengan tenang. Baginya, karya tidak boleh dinilai melalui potongan video beberapa saat kerana perkembangan karakter hanya dapat difahami selepas menonton keseluruhan episod.

Malah, jika penonton masih beranggapan lakonannya kurang memuaskan selepas menonton episod penuh, jejaka berusia 44 tahun itu terbuka menelan kecaman.

Hakikatnya ramai tidak mengetahui bintang Full House itu melakukan persiapan ekstrem termasuk menurunkan berat badan, mengubah bentuk fizikal serta sengaja berlapar sebelum penggambaran demi menghasilkan wajah dingin dan menakutkan.

Go Min-si

Aksi Go Min-si sebagai Lee Eun-yoo dalam Sweet Home 2 (2023) menerima pelbagai reaksi daripada penonton. Ada memuji keberaniannya, namun tidak kurang menganggap perkembangan emosi watak tersebut kurang konsisten berbanding musim terdahulu.

Beberapa babak aksi serta penyampaian dialog turut dikatakan gagal meninggalkan impak mendalam. Kritikan itu pantas memenuhi media sosial sebaik drama itu ditayangkan.

Bagaimanapun, si cantik berusia 31 tahun itu melihat setiap komen daripada sudut positif selain mengakui mustahil memuaskan hati semua pihak. Katanya, setiap komen dan kritikan tetap dihargai sebagai motivasi untuk menjadi pelakon lebih baik.

Kesungguhan tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila lakonannya dalam The Frog (2024) serta drama romantik Tastefully Yours menerima pujian meluas sekali gus mengubah persepsi ramai terhadap kemampuannya.

Kwak Dong-yeon

Selepas mencuri perhatian menerusi Vincenzo dan Queen of Tears, Kwak Dong-yeon menerima cabaran sebagai hero utama drama sejarah The Queen’s Love Letter (2025).

Namun, kemunculan awalnya mengundang kritikan apabila nada suara serta sebutan dialog dikatakan kurang menyerlah untuk naskhah berlatar era Joseon selain babak romantis dipersembahkan sedikit kekok.

Jejaka berusia 29 tahun itu tidak menolak teguran tersebut sebaliknya mengakui terlalu fokus terhadap lakonan sendiri sehingga terlupa menilai persembahan daripada sudut pandang penonton.

Sikap profesional itu membantu memperbaiki persembahan pada episod-episod berikutnya sehingga berjaya mengubah persepsi ramai malah, kemunculan terbaharunya sebagai roh Putera Mahkota dalam The East Palace (2026) kembali menuai pujian dan mengukuhkan reputasinya sebagai antara pelakon paling versatil di Korea Selatan.

Jisoo

Sejak membuat debut sebagai heroin Snowdrop, Jisoo tidak pernah terlepas daripada perhatian netizen. Kritikan kembali memuncak selepas membintangi Newtopia (2025) dan drama Netflix Boyfriend on Demand (2026).

Antara perkara sering dipersoalkan ialah sebutan dialog, tona suara sedikit sengau serta babak tangisan dikatakan kurang meyakinkan.

Meski menerima pelbagai komen pedas, anggota kumpulan Blackpink itu tidak melatah sebaliknya menganggap setiap kritikan sebagai sebahagian daripada proses peralihan dirinya daripada dunia K-Pop ke bidang lakonan.

Setiap projek baharu dijadikan medan menambah baik kelemahan dan mencari sisi lakonan lebih matang.

Roh Yoon-seo

Bintang muda Roh Yoon Seo mula dihujani kecaman selepas membintangi drama Netflix, The East Palace (2026).

Debut pertamanya dalam genre sageuk (sejarah) mengundang pelbagai reaksi apabila sebutan dialog serta intonasi suaranya dianggap terlalu moden dan kurang sesuai dengan latar era Joseon.

Enggan menutup mata terhadap komen negatif, aktres berusia 26 tahun itu mengakui membaca sendiri setiap ulasan penonton dan percaya maklum balas tersebut membuktikan ramai benar-benar memberi perhatian terhadap lakonannya.

Yoon-seo turut mengakui masih banyak kelemahan perlu diperbaiki, terutama teknik vokal dan penyampaian dialog dalam drama sejarah. Pengalaman sulung itu dianggap satu proses pembelajaran berharga buat mempersiapkan diri sebagai pelakon. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok