MENJADI teraju utama untuk sebuah naskhah layar lebar berjudul Tiket Sehala yang bakal ditayangkan pada Ogos depan satu tanggungjawab besar buat pendatang baharu, Ainee Mustafa.
Sedar namanya masih terlalu asing dalam dunia hiburan tanah air, Ainee tidak gentar untuk mempersembahkan bakat lakonan dimilikinya kepada umum.
Menurut Ainee, 29, menjadi seorang bintang filem merupakan impian yang sudah tertanam dalam dirinya sejak dahulu, bukan itu sahaja dia juga mahu dikenali sebagai pelakon aksi.
“Memang sejak kecil lagi impian saya mahu jadi seorang pelakon. Sebab itu, sejak berusia 18 tahun saya sudah mula menghadiri banyak sesi uji bakat.
Sebelum ini saya selalu jadi pelakon tambahan dan pegang watak kecil sahaja macam lalu-lalang dan duduk membaca buku jadi pelengkap ‘frame’ dalam sesuatu babak.
“Kemudian, barulah saya mula beraksi sebagai pelakon lagak ngeri,” katanya yang pernah mewakili Sarawak dalam Sukan Malaysia (Sukma) dalam sukan taekwondo pada 2016.
Katanya, hasrat mahu dikenali sebagai pelakon aksi semakin membuat-buak selepas melihat ketangkasan aktres ternama antarabangsa kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh dan lakonan hebat Fify Azmi dalam filem Wira.
“Minat saya terhadap dunia aksi sebenarnya bermula apabila melihat Fify berlakon dalam Wira dan waktu itu saya terfikir, rupa-rupanya ada pelakon wanita Malaysia yang mampu melakukan babak aksi sehebat itu.
Kemudian muncul pula Trisha Ooi dan Farali Khan. Saya kagum melihat kehebatan mereka sebab bukan semua pelakon wanita mampu lakukannya.
“Selain itu, antara pelakon lain yang jadi inspirasi ialah Michelle Yeoh. Disebabkan dia juga saya lebih cenderung kepada filem aksi kerana saya rasa itulah kekuatan yang perlu ditunjukkan kepada umum,” ujarnya.
Dia bagaimanapun menegaskan enggan terlalu tergesa-gesa mengejar populariti kerana yakin perkara tersebut akan hadir pada waktu yang tepat.
Saya tak mahu terkejar-kejar untuk dikenali ramai, tidak mengapa bermula perlahan dari bawah.
“Lebih baik saya mantapkan dahulu kualiti kerja dengan hadir kelas lakonan. Saya yakin peluang akan datang dan rezeki Tuhan tidak akan pernah putus,” jelasnya.
Ainee memberitahu dia juga pernah melalui fasa ditolak untuk beberapa tawaran hanya disebabkan tidak mempunyai jumlah pengikut media sosial yang ramai.
Ujarnya, dia sudah mencuba pelbagai uji bakat sejak berusia 18 tahun namun rezeki tidak berpihak padanya.
Banyak kali juga terutama selepas hadir ke sesi uji bakat. Alasan mereka beri bila terpaksa tolak nama saya kerana kurang pengikut media sosial, tak cukup dikenali.
“Saya faham dan tidak nafikan kepentingan perkara tersebut tetapi adakalanya peluang tetap harus diberikan kepada pelakon macam saya.
“Apa pun, saya tetap berpegang pada konsep rezeki. Kalau pengikut ramai tetapi Allah tak aturkan peluang, tetap tak akan dapat,” ujarnya lagi.

AINEE bersama pelakon gandingannya, Noki dan Jaa Suzuran dalam filem Tiket Sehala. – ISKANDAR ISHAK
Tiket Sehala
Bercerita mengenai Tiket Sehala yang turut dibintangi Noki K-Clique, Jaa Suzuran, Sharifah Sakinah dan Zaki Yamani, Ainee berkata, menjadi Putri sangat mencabar kemampuannya sebagai pelakon baharu.
Perlu melakonkan babak air mata merupakan cabaran terbesar buatnya, namun bersyukur tunjuk ajar pengarah, Rahila Ali dan pelakon lain banyak membantunya mencari emosi yang diperlukan.
“Sejujurnya watak Putri dengan karakter saya tidak jauh beza, namun paling mencabar adalah dari segi emosi yang perlu dipersembahkan.
Syukur babak air mata berjalan dengan baik, ramai juga bantu saya untuk kupas emosi tersebut seperti Sharifah Sakinah yang ajar cara untuk wujudkan mood sedih.
“Ini pula pertama kali saya lakonkan babak sebegitu, jadi banyak ‘layer’ dalam diri yang perlu saya buka untuk sampai ke emosi tersebut,” jelasnya lagi.
Berkongsi lanjut, filem tersebut turut menuntutnya bertutur dalam bahasa Korea, namun tidak menjadi masalah kerana sudah memiliki kemahiran tersebut sejak berusia 12 tahun.
Dalam filem ini ada juga beberapa pelakon Korea terlibat, satu pengalaman dan platform terbaik untuk saya belajar banyak benda.
“Saya juga ada beberapa dialog bahasa Korea, tak jadi masalah sebab sudah belajar bahasa tersebut sendiri sejak umur 12 tahun.
Kemudian ibu daftarkan saya kelas bahasa Korea selain belajar sendiri dengan menonton filem dan drama mereka.
“Ketika belajar di peringkat ijazah sarjana muda, saya sertai program pertukaran pelajar ke Korea, memang takdir saya banyak ke negara itu. Sekarang filem pun ada kaitan,” akhirinya. – HIBGLAM
