KURNIAAN Tuhan paling bernilai, pelakon Datin Nelydia Senrose kini rasmi bergelar ibu apabila selamat melahirkan bayi lelaki.
Khabar gembira yang dinanti-nanti ramai itu dikongsi sendiri suaminya, Datuk Mohd Hafez Halimi Abd. Hamid dengan memaklumkan dia menyaksikan detik terindah isterinya bergelar menjadi seorang ibu saat melahirkan cahaya mata sulung mereka semalam.
“Semalam, 26 Julai 2026, saya menyaksikan wanita paling kuat dan cantik yang pernah saya kenali.
“Melihat awak berjuang dengan kesakitan dan setiap cabaran demi melahirkan anak lelaki kita adalah satu kenangan yang akan saya simpan seumur hidup.
“Awak sangat berani kerana semua itu bukan perkara mudah. Melihat awak bergelar seorang ibu adalah saat paling indah yang pernah saya saksikan,” katanya.
Dia juga menzahirkan penghargaan buat Nelydia kerana sudah berjuang sepanjang tempoh melahirkan bayi sulung mereka.
“Sayang, terima kasih atas setiap pengorbanan, air mata, kekuatan yang diberi dan setiap degupan jantung yang melahirkan anak lelaki kita dengan selamat.
“Awak bukan sahaja melahirkan tetapi juga telah menghadiahkan saya anugerah paling bermakna. Hari ini keluarga kecil lengkap.
“Terima kasih kerana menjadikan saya seorang ayah yang paling bertuah. Saya berjanji akan menghabiskan sisa hidup saya untuk menyayangi, melindungi dan sentiasa berada di sisi awak dalam setiap kegembiraan mahu pun dugaan,”katanya lagi.
Tambahnya, anak lelaki mereka juga beruntung menjadi anak kepada seorang wanita yang hebat.
“Anak lelaki kita sangat bertuah kerana awak adalah ibunya dan saya juga beruntung kerana memiliki awak sebagai isteri.
“Terima kasih kerana menghadiahkan keluarga yang sentiasa saya doakan selama ini,” ujarnya.
Hafez bagaimanapun tidak berkongsi nama anak sulung mereka.
Terdahulu, Nelydia berkahwin dengan Mohd. Hafez yang juga ahli perniagaan pada 6 April 2019.
Sekian lama menanti, pada 7 April lalu, Nelydia berkongsi detik indah kehamilannya selepas tujuh tahun perkahwinan. – HIBGLAM
