FESTIVAL muzik rentas budaya, Latihan Pestapora Malaysia 2026 mengumumkan lima lagi artis bagi melengkapkan barisan persembahan yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 15 Ogos depan.
Penganjur Hitman Solutions dan Boss Creator, berkata, kumpulan ska terkenal Indonesia, Tipe-X dan Last Child selain penyanyi tempatan, Ruffedge, Lah Ahmad serta DJ Disko Santan & Friends melengkapkan senarai penghibur Malaysia dan seberang yang bakal memeriahkan festival berkenaan.
“Last Child bakal membuat penampilan sulung di Malaysia, manakala Tipe-X dijangka menghiburkan peminat dengan irama ska yang menjadi identiti kumpulan tersebut.
“Ruffedge dan Lah Ahmad pula mengubat kerinduan peminat muzik R&B menerusi rangkaian lagu malar segar.
“DJ Disko Santan & Friends akan menyemarakkan suasana festival dengan seleksi muzik sepanjang acara,” katanya dalam kenyataan media.
Sebelum ini penganjur terlebih dahulu mengumumkan senarai artis seberang iaitu Tulus, Romantic Echoes, Juicy Luicy, Bernadya, Mahalini, Maliq & D’Essentials, Rhoma Irama Soneta dan Nadhif Basalamah.
Sementara barisan penyanyi lokal pula terdiri daripada Aisha Retno, Aziz Harun, Gerhana Skacinta, Masdo, Insomniacks serta FUGO.
Turut mencuri perhatian beberapa persembahan kolaborasi eksklusif yang hanya dapat disaksikan di Latihan Pestapora Malaysia 2026 termasuk Rhoma Irama Soneta X Maliq & D’Essentials, Masdo X Gerhana Skacinta dan juga Nadhif Basalamah X Aziz Harun X Aisha Retno.
Air percuma
Pada masa sama, pengunjung dapat menikmati pilihan makanan serta minuman daripada vendor yang mengambil bahagian.
Seperti dijanjikan, bagi memastikan keselesaan orang ramai, setiap pemegang tiket akan menerima sebotol air mineral percuma ketika memasuki festival. Kemudahan stesen isian semula air juga disediakan sepanjang acara berlangsung.
Sementara itu, jualan tiket kini memasuki kategori General Admission (GA) Phase 2 pada harga RM249. Penganjur turut menawarkan promosi Bundle Pesta iaitu pembelian empat tiket GA pada harga Fasa 1 akan menerima satu tiket GA secara percuma bagi pembelian secara berkumpulan.
