‘Salahkah mereka nak sokong darah daging sendiri?’

PESERTA Big Stage Rocketfuel Hussain kesal apabila segelintir pihak mendakwa ahli keluarganya termasuk adik-beradiknya cuba untuk menumpang populariti yang diraihnya ketika ini terutama dalam media sosial.

Hussain, 23, berkata, ahli keluarganya tidak sepatutnya menerima kecaman netizen memandangkan mereka merupakan penyokong terkuat sejak menyertai program Talk To My Manager 2 (TTMM2) sebelum ini.

“Salahkah mereka (ahli keluarga) nak sokong darah daging sendiri?

“Merekalah yang hantar, bawa saya ke sini dan dahulukan duit sebab saya baru sahaja berhenti kerja sebelum menyertai TTMM2.

“Tak akanlah orang luar yang nak tolong saya? Mestilah adik-beradik sendiri, jadi tidak salah pun nak sokong dlaam media sosial,” katanya kepada HibGlam di sini, semalam.

Hussain dalam masa sama turut menegaskan setiap tindakan dan sokongan yang diberikan ahli keluarganya dalam media sosial tidak seharusnya menjadi bahan perdebatan ramai.

“Bagi saya tak perlu ada pihak yang mahu mempertikaikan mereka (adik-beradik) nak tumpang populariti saya atau sebaliknya.

“Sebab semua rezeki ini juga hadir daripada adik-beradik saya juga. Mereka berterusan beri sokongan mereka pada saya,” katanya lagi.

Terdahulu, Hussain tampil bersuara dalam media sosial selepas segelintir netizen mendakwa adik-beradiknya cuba menumpang populariti yang diraih menerusi penyertaan dalam TTMM2.

Dakwa segelintir pihak, mereka melihat tindakan ahli keluarga Hussain terutama adik-beradiknya aktif membalas dan membidas komen pihak lain setiap kali selesai konsert mingguan TTMM2 dan Big Stage. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok