Andi Bernadee, hilang gelap kini terang

RAMAH dan berbakat, itulah antara pakej dimiliki Andi Bernadee yang membuatkan dirinya disenangi peminat  dan rakan seperjuangan.

Namun siapa sangka, kecenderungan mengambil jalan selamat dan keselesaan melayan dunia sendiri bukan tembok penghalang mengecualikan pelantun lagu Satu Peluang itu terhindar daripada sikap hasad segelintir individu.

Lama trauma terpuruk dek buatan orang dua tahun lalu, Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile, kini bangkit bersama semangat baharu.

Baginya, episod sengsara itu sudah terkambus jauh jauh daripada pandangan. Sebatang tubuh bernama Andi Bernadee kini hanya mahu hidup dipagari aura positif.

LEBIH selesa di rumah andai tiada tugasan luar antara amalan Andi bagi mendapatkan rehat secukupnya selain mengelak daripada terkait gosip liar.

“Kita buang semua cerita negatif itu jauh-jauh. Kita tutup buku lama, biarkan hari mendatang lebih padat dengan kisah positif,” luahnya membuka bicara.

Tampil dengan wajah segar, jelas terserlah harapan diluahkannya sebagai misi utama melihatkan kepada keterujaan berkongsi satu persatu cerita mengenai dunia nyanyian yang diceburi sejak 2011.

Bintang yang mengawali karier seni menerusi aplikasi Smule itu berkata, fokus terkini adalah merealisasikan album sulung sebelum mengatur rancangan mengadakan konsert solo.

“Mana-mana penyanyi pun pasti punya impian menghasilkan album apatah lagi sepanjang 12 tahun bergelar penyanyi saya telah mempunyai seleksi hits yang panjang.

“Selepas itu barulah hati senang untuk meneruskan pula beberapa misi lain yang telah difikirkan sejak bertahun-tahun lalu termasuk konsert solo. 

“Album yang saya impikan bakal berkonsep raggaeton yang menjadi identiti saya sedari awal dalam industri muzik.

“Buat masa ini saya dalam siri mengumpulkan idea baharu menepati  konsep yang dimahukan, selain berharap album sulung ini dapat dilancarkan selewat-lewatnya awal tahun depan,” kongsinya.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok