‘Setiap kali saya terima sesuatu, akan timbul kata sama’

MENERIMA penganugerahan Ijazah Kehormat Sarjana dalam bidang Seni Kreatif dan Media (Honoris Causa) dari Universiti Sunway, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan menjemput wakil universiti terbabit bagi mendengar rasional di sebalik pemberian pengiktirafan berkenaan.

Perkara tersebut dilakukan kerana pemilik nama penuh Siti Nurhaliza Tarudin, 47, sedar akan wujud pertikaian atau persepsi segelintir pihak setiap kali dia menerima sebarang anugerah berbentuk akademik.

“Tahun lalu pihak Universiti Sunway menghantar surat kepada saya untuk pengiktirafan ini.

“Saya dan pengurusan mengundang wakil Universiti Sunway ke pejabat dan bertemu, berbincang serta mendengar sendiri dari mereka — kenapa ijazah kehormat ini diberikan kepada saya.

“Saya tahu, setiap kali saya menerima atau dianugerahkan sesuatu dari institusi akademik, akan timbul ‘kata-kata’ yang sama,” katanya dalam Instagram.

Bagi menjelaskan lanjut, pelantun lagu Kesuma itu memaklumkan Ijazah Kehormat merupakan satu anugerah khas sesebuah universiti tanpa perlu mengikut pengajian akademik secara formal.

“Maksud Ijazah Kehormat (Honorary Degree) merupakan anugerah khas yang dianugerahkan sesebuah universiti tanpa perlu mengikut pengajian akademik secara formal.

“Ia diberikan sebagai tanda penghormatan tertinggi kepada individu yang telah memberikan sumbangan luar biasa, luar biasa impaknya dan berterusan dalam bidang tertentu serta masyarakat.

Selebihnya apa jua yang saya terima, saya sendiri tak pernah terfikir kerana saya hanya menjalankan tugas saya selama ini, apa yang datang selepas itu, saya syukuri,” jelasnya.

Pada masa sama, Siti menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut dan menganggapnya sebagai satu kejayaan bersama buat seluruh penggiat seni tempatan.

“Syukur alhamdulillah, pengiktirafan Ijazah Sarjana Kehormat dalam bidang Seni Kreatif dan Media daripada Universiti Sunway ini adalah satu penghormatan yang sangat besar.

“Ini bukan sahaja penghargaan untuk perjalanan seni saya seorang tetapi juga satu pengiktirafan tertinggi buat seluruh warga industri muzik dan seni kreatif tanah air.

“Terima kasih kepada pihak pengurusan Universiti Sunway di atas penghormatan yang cukup bermakna ini,” katanya kepada HibGlam.

Malah, ibu kepada dua cahaya mata itu berharap penganugerahan tersebut menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda untuk terus berkarya.

Pengiktirafan ini membuktikan bahawa bidang seni kreatif dan media adalah satu profesion yang sangat berprestij dan dihormati dunia akademik.

“Semoga anugerah ini menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda dan pengamal seni tempatan untuk terus berkarya dengan mutu yang tinggi, beretika dan membawa seni budaya kita ke peringkat yang lebih tinggi,” luahnya.

Semalam, Siti sekali lagi melakar sejarah sendiri apabila dianugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana dalam bidang Seni Kreatif dan Media (Honoris Causa) dari Universiti Sunway.

Dalam majlis sama, Siti turut menyarung jubah konvokesyen dan menerima ijazah yang disampaikan Canselor Universiti Sunway iaitu Tan Sri Jeffrey Cheah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok