Universiti Sunway anugerahkan Siti Nurhaliza ijazah kehormat sarjana

BIDUANITA negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi melakar sejarah apabila dianugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana dalam bidang Seni Kreatif dan Media (Honoris Causa) dari Universiti Sunway hari ini.

Menurut pihak Universiti Sunway, pemberian anugerah tersebut adalah sebagai tanda penghargaan terhadap jasa, sumbangan serta perjalanan panjang Siti, 47, sejak berkecimpung dalam industri seni tanah air.

“Tahniah kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menerima Ijazah Kehormat Sarjana dalam bidang seni kreatif dan media sebagai pengiktirafan kepada sumbangan cemerlang dan perjalanan inspiratif beliau dalam seni dan industri kreatif.

“Momen yang sememangnya tidak akan dilupakan,” katanya dalam satu hantaran Instagram.

Difahamkan, penyampaian anugerah berkenaan berlangsung pada Majlis Konvokesyen Universiti Sunway hari ini.

Dalam majlis sama, Siti turut menyarung jubah konvokesyen dan menerima ijazah yang disampaikan Canselor Universiti Sunway iaitu Tan Sri Jeffrey Cheah.

Menerusi ruangan komen, Siti turut dihujani dengan komen positif netizen yang berpendapat dia sememangnya layak menerima pengiktirafan tersebut susulan berjaya meraih pelbagai pencapaian dan memberi sumbangan sepanjang bergelar anak seni sejak tiga dekad lalu.

Terdahulu, Siti pada November tahun lalu juga dilantik Profesor Adjung dalam bidang keusahawanan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkuat kuasa 15 Oktober 2025 sehingga 15 Oktober 2027.

Sebelum itu, dia juga pernah filantik sebagai pakar di Universiti Malaya Centre for Continuing Education (UMCced) untuk tempoh dua tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok